- Iklan -
Berita

Sekolah memandu dibenar beroperasi esok

ILP dibenarkan beroperasi pada 9 September, proses pengujian untuk mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sekolah memandu dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100% sekiranya 80% pekerja lengkap menerima dua dos vaksin bermula 9 September.
Sekolah memandu dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100% sekiranya 80% pekerja lengkap menerima dua dos vaksin bermula 9 September.

Industri latihan pemanduan (ILP) kenderaan motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi mulai Khamis ini (9 September) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini.

Beliau berkata walaupun ILP dibenarkan beroperasi pada tarikh itu, proses pengujian untuk mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September.

“Ini bagi membolehkan institut memandu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Wee berkata kebenaran yang telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PPN berfasa yang berkuat kuasa.

Beliau berkata pekerja, tenaga pengajar dan calon perlu lengkap menerima vaksin Covid-19 dengan mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan manakala institut pula hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang telah lengkap menerima vaksin.

“Sekiranya 40% pekerja ILP telah lengkap menerima vaksin, institut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60% pekerja. Jika 60% lengkap divaksin, institut boleh beroperasi dengan 80% pekerja.

“Syarikat juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100% sekiranya 80% pekerja lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya.

Wee berkata mana-mana kakitangan/calon yang bergejala, sedang dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), pesakit dalam pemantauan (PUS) dan sedang menjalani perintah kuarantin tidak dibenarkan hadir ke ILP.

Katanya, semua kakitangan dan calon perlu mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kementerian kesihatan (KKM) dan melaksanakan norma baru seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan.

Memahami dan prihatin dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh pengendali institut memandu akibat pandemik Covid-19, Wee berkata kementerian pengangkutan memutuskan pemberian moratorium selama tiga bulan iaitu hingga 30 November ini bagi keperluan pembaharuan permit institut memandu yang tempoh sah laku permitnya tamat antara Januari hingga September 2021.

“Diharapkan dengan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha ILP atau institut memandu, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” katanya sambil mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).