- Iklan -
Berita

Najib gagal gugurkan Sri Ram dari pasukan pendakwaan kes 1MDB

Sri Ram adalah ketua pendakwaan dalam beberapa kes melibatkan 1MDB yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram. Gambar: Bernama
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram. Gambar: Bernama

Pasukan pembelaan Najib Razak hari ini gagal menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa bagi kes-kes berhubung 1MDB selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari lalu.

Ketiga-tiga hakim yang diketuai Yaacob Md Sam sebulat suara menolak rayuan Najib dengan alasan tidak wujud sebarang kesilapan dalam keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini berhubung Sri Ram sebagai timbalan pendakwa kanan dalam kes jenayah tersebut.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan yang sama dari Najib bagi menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu.

15 Februari lalu, cubaan kali ketiga Najib gagal bagi menggugurkan Sri Ram dalam kes meminda laporan audit 1MDB.

Ketika menolak permohonan ahli Parlimen Pekan itu, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata dakwaan Najib bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan terhadapnya sebagai tidak ada merit.

“Tidak ada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan pemohon dan kekal sebagai hipotesis semata-mata. Isu ini telah disiasat oleh pihak pendakwaan selaku responden semasa permohonan pemohon (Najib) yang terdahulu.

“Isu ini sudah dibincangkan dan diputuskan. Keputusan oleh mahkamah lain sebelum ini kekal dan tidak boleh diterbalikkan,” kata hakim.

Najib, 67, dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, dibicarakan atas tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan ke atas laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, sementara Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan tersebut bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.