- Iklan -
Berita

Ahmad Maslan setuju dilantik timbalan speaker, kata Nazri

Nazri Aziz berharap pencalonan Ahmad Maslan diterima semua wakil rakyat kerajaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyatakan beliau bersetuju untuk dicalonkan sebagai timbalan speaker bagi mengantikan Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan.

Menurut Utusan Malaysia, Ahmad bersetuju dilantik sebagai timbalan speaker dalam satu pertemuan, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.

“Sah, betul Mat Maslan menjadi calon bagi blok kerajaan untuk timbalan speaker. Kita bertemu dengannya dan beliau bersetuju.

“Saya berharap pencalonan ini diterima semua wakil rakyat kerajaan termasuk Bersatu dan pihak pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang,” kata Nazri yang dipetik sebagai berkata.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan pemimpin-pemimpin Umno yang bersekutu dengan Najib Razak sedang berusaha mengangkat Ahmad untuk menduduki jawatan timbalan speaker susulan peletakan jawatan oleh Azalina bulan lepas.

Sumber parti itu mengatakan nama Ahmad dicadangkan dan sedang menunggu kelulusan daripada anggota-anggota pentadbiran kerajaan.

Namun kebimbangan turut disuarakan mengenai peluang mereka mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen kerajaan dari gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad adalah salah seorang daripada kumpulan yang dikenali sebagai “kluster mahkamah”, ia terdiri daripada ahli-ahli Parlimen Umno yang berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan rasuah dan pengubahan wang.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin secara jelas menegaskan gabungan tersebut tidak akan mendukung individu-individu yang berdepan pertuduhan jenayah bagi menganggotai pentadbiran kerajaan.