- Iklan -
Berita

Pawagam dibuka seluruh negara bagi individu lengkap vaksinasi

Kelonggaran kepada industri kreatif di seluruh negara tersebut berkuat kuasa 9 September depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja pawagam melakukan semburan cecair pembasmi kuman dalam dewan pawagam di Golden Screen Cinema (GSC) Mid Valley.
Seorang pekerja pawagam melakukan semburan cecair pembasmi kuman dalam dewan pawagam di Golden Screen Cinema (GSC) Mid Valley.

Putrajaya hari ini mengumumkan melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Satu bagi industri kreatif antara lain membenarkan aktiviti panggung wayang kepada individu yang lengkap vaksinasi bermula 9 September depan.

“Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam,” kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 berharap kelonggaran tersebut dapat memberi kelegaan kepada 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.

“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Semua penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa Satu PPN,” katanya.

Menurutnya, aktiviti penyiaran siaran kandungan kreatif, penggambaran, “indoor busking”, aktiviti panggung wayang, persembahan ruang “lounge” hotel, teater, muzikal dan komedi, pameran seni dibenarkan untuk beroperasi.

Sehubungan pembukaan sektor-sektor tersebut, Ismail menggesa semua pihak terlibat supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur kesihatan yang ditetapkan sambil menambah kelonggaran tersebut diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri mencapai status 80% populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin.

“(Ia) bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara beralih ke fasa endemik Oktober ini,” katanya.