Sunday, September 26, 2021

Memahami ‘kos’ tangguh pembayaran hutang

Pakar ekonomi jelaskan kecelaruan berhubung moratorium dan faedah terakru.

Other News

Ramai dalam kalangan warga Malaysia masih tidak jelas berhubung konsep moratorium pinjaman walaupun kerajaan sudah beberapa kali memperkenalkan inisiatif tersebut sejak pandemik melanda negara tahun lalu bagi mengurangkan impak kewangan daripada krisis Covid-19.

Moratorium terbaru yang diumumkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada Jun lalu menawarkan pembekuan bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan tanpa syarat kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20.

Berdasarkan pengumuman di Bursa Malaysia, kebanyakan syarikat perbankan mengumumkan prestasi kewangan lebih memberangsangkan bagi separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebagai contoh, untung bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi separuh pertama yang berakhir 30 Jun 2021, meningkat 45.57% kepada RM4.35 bilion berbanding RM2.99 bilion yang direkodkan tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, untung bersih CIMB Group Holdings Bhd pula melonjak empat kali ganda kepada RM3.54 bilion daripada RM785 juta manakala Public Bank Bhd merekodkan kenaikan kepada RM2.91 bilion daripada RM2.33 bilion.

Ekoran itu, ada yang mencadangkan supaya faedah terakru dihapuskan kerana dilihat sebagai membebankan peminjam yang mengambil moratorium.

Saranan itu merujuk kepada penjelasan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini menerusi bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, saranan itu mungkin didorong oleh kekeliruan orang ramai mengenai konsep moratorium dan maksud faedah terakru.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata ramai menganggap bahawa faedah terakru sebagai caj tambahan sedangkan ia merupakan pendapatan pihak bank yang tidak dapat dikutip ketika tempoh pelaksanaan moratorium.

“Kita perlu faham bahawa syarikat perbankan juga merupakan satu perniagaan, maka akan ada kos dan untung.

“Kos boleh dikatakan sebagai pinjaman pokok dan keuntungan pula adalah faedah,” katanya.

Menurutnya, jika berlaku faedah terakru, bank akan mengutip faedah terakru itu dahulu.

“Implikasinya ialah apabila tempoh pinjaman itu tamat, akan ada baki pinjaman pokok.”

Afzanizam berkata, saiz pinjaman pokok itu bergantung kepada tempoh, jumlah pinjaman serta jumlah moratorium yang diambil peminjam.

“Semakin banyak moratorium diambil maka semakin tinggi baki pinjaman pokok. Jika dibayar dengan secara ‘lump sum’ ia memang jumlah yang besar.

“Sebab itu pihak bank memanjangkan tempoh pinjaman supaya peminjam tidak terbeban membuat bayaran,” katanya.

Tambahnya, moratorium hanyalah menangguh bayaran dan harga pembayaran yang dipersetujui iaitu harga pinjaman pokok dicampur dengan faedah terdapat pada kontrak pinjaman yang ditandatangani peminjam.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan untuk moratorium diteruskan pada masa hadapan, Afzanizam berkata, ia mungkin akan berpaksikan pada konsep bersasar.

“Jika ada moratorium selepas Disember depan, mungkin ia akan diadakan secara bersasar.

“Walaupun ekonomi akan semakin pulih menerusi pencapaian imuniti kelompok yang dijangka akan dicapai pada Oktober depan, ia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles