- Iklan -
Berita

Kementerian pendidikan adakan sesi libat urus pembukaan sekolah negeri Fasa 3

Persatuan ibu bapa dan guru, guru, guru besar dan pengetua sekolah di Negeri Sembilan turut terlibat dalam libat urus pembukaan sekolah mengikut Fasa PPN.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin bersama pengurusan tertinggi kementerian mengadakan mesyuarat telesidang Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. Gambar: KPM
Menteri Pendidikan Radzi Jidin bersama pengurusan tertinggi kementerian mengadakan mesyuarat telesidang Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. Gambar: KPM

Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan di Negeri Sembilan bagi membincangkan berhubung pembukaan sekolah di negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, dalam sesi tersebut perbincangan melibatkan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah dari seluruh Negeri Sembilan.

“Dalam sesi libat urus ini kementerian pendidikan mendapatkan pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah tentang persekolahan anak-anak di negeri yang memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam satu tulisan yang dimuat naik di Facebook.

“Ini adalah penting dalam membantu kementerian pendidikan memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah.”

Beberapa hari lalu, Radzi berada di Labuan bagi membincangkan dengan pihak berkepentingan berhubung pembukaan sekolah di negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa 4.

Dalam tulisannya hari ini beliau berkata, segala saranan dan cadangan yang dilontarkan dalam sesi libat urus ini akan diteliti dan perhalusi.

“Apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara.”

Dalam satu tulisan lain Radzi menambah, sebelum memulakan sesi libat urus tersebut beliau sempat mengadakan mesyuarat secara maya bersama pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri pengurusan tertinggi kementerian pendidikan dan SPP.

“Perkara utama yang kami bincangkan adalah mengenai status pengambilan khas 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off.

“Saya yakin, SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) sentiasa komited untuk membantu KPM dalam mempercepatkan pengisian kekosongan jawatan guru,” katanya.