- Iklan -
Berita

Junta Myanmar bebaskan sami anti Islam di Myanmar

Ashin dikatakan menerima rawatan di sebuah hospital tentera, namun punca kemasukannya tidak dijelaskan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Sami Buddha anti Islam Ashin Wirathu ketika berucap mendukung tentera Myanmar. Gambar: AP
Sami Buddha anti Islam Ashin Wirathu ketika berucap mendukung tentera Myanmar. Gambar: AP

Junta tentera Myanmar semalam membebaskan sami Buddha anti Islam yang sebelum ini dipenjarakan atas tuduhan menghasut oleh kerajaan Aung San Suu Kyi yang digulingkan Februari lalu.

Ashin Wirathu, yang sebelum ini pernah digelar sebagai “Buddhist Bin Laden” oleh majalah Time kerana menghasut kebencian agama di Myanmar, dibebaskan selepas semua tuduhan terhadapnya digugurkan, kata sebuah kenyataan.

Ashin juga dikatakan sedang menerima rawatan di sebuah hospital tentera, namun tidak dijelaskan kenapa dia dimasukkan ke hospital.

Sami berusia 53 tahun itu terkenal kerana retorik nasionalis anti agama Islam terutama terhadap etnik Islam Rohingya yang.

Pada 2017, badan agama Buddha tertinggi negara itu melarang Ashin mengajar bagi tempoh setahun.

Selepas larangan tersebut tamat, pendakwah pro tentera itu kembali berucap di himpunan kumpulan nasionalis, di mana dia menuduh kerajaan Suu Kyi terbabit rasuah dan mengkritik kegagalan meminda Perlembagaan.

Ashin juga menghadapi tuduhan menyemarakkan “kebencian atau penghinaan” dan “meluahkan kemarahan” terhadap kerajaan Suu Kyi.

Myanmar dilanda kemelut sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu, menyaksikan tindakan ketenteraan terhadap penunjuk perasaan menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban.

Junta Myanmar, yang diisytiharkan sebagai Majlis Pentadbiran Negara membatalkan keputusan pilihan raya umum November lalu, di mana parti pimpinan Suu Kyi, Liga Nasional Demokrasi (NLD) menang besar.

Dalang kudeta Myanmar, Min Aung Hlaing, mendakwa tindakan rampasan kuasa diambil selepas didapati berlaku penipuan besar-besaran ketika pilihan raya itu.

Suu Kyi, yang ditahan sejak kudeta junta, menghadapi beberapa pertuduhan termasuk melanggar perintah larangan Covid-19 dan mengimport serta memiliki “walkie talkie” secara haram, yang jika sabut kesalahan boleh dipenjara lebih 10 tahun.