Tuesday, September 28, 2021

Agong maklumkan tidak perlu usul undi percaya terhadap PM, dedah menteri

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara itu ketika mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Other News

Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Ismail Sabri Yaakob bahawa usul undi percaya tidak perlu lagi dibentangkan di Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimn dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata perdana menteri memberitahunya dalam mesyuarat Kabinet kali pertama di bawah Ismail minggu lalu.

Pendedahan Junaidi tampil dua hari selepas gesaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berkeras menggesa Ismail membentangkan usul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat selain menuduh Peguam Negara Idrus Harun “derhaka” terhadap titah Agong.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Junaidi merujuk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Agong melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang pada hemat beliau memiliki sokongan majoriti ahli-ahli Dewan.

Beliau turut menambah 114 dari 220 ahli Parlimen menyuarakan sokongan kepada Ismail, mengatakan tidak mungkin mereka akan mengubah pendirian mereka terlalu cepat.

“Ini bukan anggapan lagi, (ahli Parlimen) memang mengadap Agong (untuk menyatakan sokongan). Jadi dalam masa singkat, saya tidak lihat mereka mengubah pendirian.

“Jika tempoh masa enam atau tujuh bulan, mungkin ada yang ubah fikiran. Jadi berdasarkan ini, Agong berkenan undi percaya tak perlu diadakan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini,” katanya.

Pada 4 September, Idrus berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail di Dewan Rakyat kerana ia bermakna kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu boleh diatasi pihak lain.

Sehari selepas itu, pemimpin PH menggesa Idrus meletakkan jawatan, mengatakan beliau “mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.”

Ketiga-tiga pemimpin gabungan itu merujuk kanyataan Istana Negara pada 18 Ogos lalu, sebelum Agong mengesahkan lantikan Ismail sebagai perdana menteri.

Sehari selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri sekali gus menyebabkan kelompongan kuasa dalam negara, 220 ahli Parlimen dimaklumkan istana mereka mempunyai tempoh sehingga 4 petang pada 18 Ogos untuk menyerahkan surat akuan bersumpah bagi menyatakan calon pilihan perdana menteri mereka.

Istana juga turut berkata perdana menteri yang baru perlu membentangkan usul undi percaya di sidang Dewan Rakyat bagi mengesahkan sokongan terhadap pemimpin negara yang baru.

Bagaimanapun, istana tidak mengulangi syarat tersebut ketika ia mengumumkan Ismail mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat pada 20 Ogos lalu, susulan Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles