- Iklan -
Berita

65% kes baru Covid-19 tiada sejarah vaksinasi, tidak lengkap suntikan, kata KP kesihatan

Noor Hisham berkata mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Team Outreach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Sabak Bernam memberikan vaksinasi kepada seorang warga emas di Sungai Besar, Kuala Selangor.
Team Outreach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Sabak Bernam memberikan vaksinasi kepada seorang warga emas di Sungai Besar, Kuala Selangor.

Sebanyak 65.9% atau 11,441 kes daripada jumlah keseluruhan 17,352 kes baru Covid-19 yang dilaporkan semalam didapati tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata inidividu tidak lengkap vaksin terdiri daripada mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua.

“Sebanyak 5,911 kes atau 34.1% pula mempunyai sejarah vaksinasi lengkap, dengan 5,834 daripadanya berada pada Kategori Satu iaitu tidak bergejala dan Kategori Dua bergejala ringan.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata daripada 268 kes Kategori Tiga (bergejala) hingga Kategori Lima (bergejala kritikal), 191 kes atau 71.3% terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 77 kes (28.7%) terdiri daripada mereka yang lengkap divaksin.

Dr Noor Hisham berkata 272 kes kematian dilaporkan hari ini yang melibatkan 227 warganegara dan 45 bukan warganegara.

Kes kematian di luar hospital atau mati ketika dibawa (BID) yang direkodkan hari ini adalah 81 kes terdiri daripada 56 warganegara dan 25 bukan warganegara.

Beliau berkata 20,201 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini 252,668.

Seramai 975 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 435 orang memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Beliau berkata sebanyak 30 kluster baru dilaporkan hari ini dengan 16 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti, empat kluster kumpulan berisiko tinggi, dua kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah kementerian pendidikan dan satu di pusat tahanan, menjadikan kluster aktif kini 1,453.