- Iklan -
Berita

1MDB sukar proses audit kerana beberapa dokumen dirampas polis, mahkamah diberitahu

Saksi bersetuju serbuan dan rampasan dokumen oleh pihak polis meletakkan 1MDB dalam kedudukan yang agak sukar,

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama

1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhadapan dengan beberapa kesukaran semasa proses audit pada tahun 2015 selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu pejabatnya dan merampas beberapa dokumen sehari sebelum laporan interim penemuan awal syarikat dana kekayaan berdaulat milik negara itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Perkara itu dicadangkan oleh peguam N Sivananthan kepada bekas pengarah audit Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 66, semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan berhubung kes meminda laporan akhir audit 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Saksi ketujuh pendakwaan itu bersetuju dengan Sivananthan yang mewakili Arul bahawa polis turut merampas beberapa dokumen semasa serbuan pada 8 Julai 2015 itu.

PAC telah menerima laporan interim 1MDB daripada Ketua Audit Negara ketika itu Ambrin Buang pada 9 Julai 2015.

Sivananthan: Adakah anda sedar bahawa PDRM telah merampas beberapa dokumen daripada 1MDB pada 8 Julai 2015?

Nafisah: Saya ada dengar berita, tapi saya tidak ingat tarikh sebenar dan dokumen apa yang dirampas.

Sivananthan: Adakah anda sedar bahawa laporan interim kepada PAC telah dibentangkan pada 9 Julai 2015?

Nafisah: Ya, kami bentangkan. Saya tidak ingat tarikh sebenar, tapi tiga atau empat bulan selepas audit kami.

Sivananthan: Dalam keadaan itu, anda bersetuju dengan saya sekiranya saya katakan bahawa (serbuan dan rampasan) meletakkan 1MDB dalam kedudukan yang agak sukar, barang diingat PDRM telah merampas dokumen, dan oleh yang demikian mereka perlu meminta dokumen-dokumen itu balik dari pihak berkuasa bagi proses audit?

Nafisah: Ya.

Selain itu, Sivananthan juga mencadangkan kepada saksi bahawa 57 bidang laporan audit 1MDB telah dipinda setelah Arul memberikan maklumat tambahan kepada Jabatan Audit Negara, dan Nafisah menjawab: “Saya tidak pasti, tetapi ada perkataan-perkataan telah dipinda”.

Sivananthan kemudian meminta saksi untuk merujuk ke eksibit dokumen intensif untuk mengesahkan bahagian yang dipinda dalam laporan audit.

Pada ketika itu hakim Mohamed Zaini Mazlan mengarahkan Sivananthan untuk memberikan lebih banyak masa kepada saksi bagi menjawab soalan kerana dia perlu membaca eksibit dokument intensif berkenaan sebelum dapat memberikan jawapan yang tepat.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan ke atas laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau manakala Arul, 46, didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan jenayah berhubung skandal 1MDB.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada 27 September.