Tuesday, September 28, 2021

Zahid sepatutnya diberi imuniti daripada didakwa, kata peguam

Menurut peguam Zahid, semua maklumat mengenai transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi yang dikendalikan keluarganya telah didedahkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya diberi imuniti daripada didakwa kerana semua maklumat mengenai transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi (YAB) yang dikendalikan keluarganya telah didedahkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid, berkata tertuduh menuntut imuniti daripada pendakwaan mengikut Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tertuduh (Zahid) pada 2 Julai 2018 dan 3 Julai 2018 telah membuat dua pernyataan berdasarkan Seksyen 30 (3) (b) Akta SPRM. Dengan kedua-dua pernyataan ini, tertuduh telah mendedahkan maklumat dan oleh itu di bawah Seksyen 30 (7) Akta SPRM, beliau dilindungi dengan imuniti daripada pendakwaan.

“Kedua-dua pernyataan ini diakui melalui SP89 (saksi pendakwaan ke-89 Fairul Rafiq Hamirudin), pegawai penyiasat pertama yang dipanggil pihak pendakwaan. Beliau mengesahkan dalam pemeriksaan balas bahawa beliau mempunyai akses dan hak penjagaan pernyataan di atas. Beliau juga mengesahkan bahawa beliau telah memeriksa pernyataan tersebut.

“SP89 kemudiannya mengesahkan bahawa kedua-dua pernyataan itu diberikan menurut perintah di bawah Seksyen 30 (1) (a) Akta SPRM dan tertuduh tidak didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 27 Akta SPRM berkenaan berhubung kedua-dua pernyataan tersebut kerana memberikan maklumat yang tidak benar, ” katanya semasa berhujah pada akhir kes pendakwaan melibatkan Zahid di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Hisyam berkata berdasarkan maklumat yang diberikan dalam satu daripada pernyataan tersebut, anak guamnya mempunyai imuniti terhadap 46 daripada 47 pertuduhan dan dalam keadaan demikian, tertuduh tidak boleh didakwa.

“Oleh itu, dengan menggunakan subseksyen 30 (7) pada fakta-fakta kes ini, saya berhujah bahawa tertuduh mempunyai imuniti dan tidak dapat didakwa atas 46 daripada 47 kes. Kesemua 46 kesalahan ini adalah berkenaan dengan 12 tuduhan pecah amanah (CBT), tujuh daripada lapan tuduhan rasuah dan semua 27 tuduhan pengubahan wang haram,” katanya.

Sebelum itu, Hisyam berkata tuduhan terhadap anak guamnya dikenakan oleh bekas peguam negara Tommy Thomas.

Semasa membaca petikan buku tulisan bekas peguam negara itu yang berjudul “My Story: Justice in the Wilderness”, peguam itu berkata Thomas menjelaskan bahawa beliau hanya mendakwa Zahid setelah berpuas hati kerana mempunyai peluang yang realistik untuk mendapatkan sabitan berdasarkan bukti yang banyak terhadap tertuduh.

Bagaimanapun Hisyam berkata setelah mendengar, membaca dan melihat bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan, walaupun keyakinan AG ketika itu untuk mendapatkan sabitan, kenyataannya adalah pertuduhan tersebut dibuat berdasarkan bukti tidak kukuh.

Hisyam berhujah bahawa anak guamnya telah dikenakan pertuduhan yang tidak sewajarnya.

Peguam itu berkata mengikut pertuduhan, Zahid dituduh melakukan CBT ketika beliau memindahkan dana YAB bernilai RM17.9 juta ke akaun amanah atas nama Lewis & Co.

“Ini jelas salah dari segi undang-undang untuk mengatakan bahawa berlaku CBT ketika YAB mengekalkan pemilikan wang tersebut ketika wang tersebut sampai ke tangan akaun anak guam Lewis & Co.

“Pelajar undang-undang jenayah akan memberitahu kita bahawa tidak berlaku CBT kerana YAB masih mengekalkan hak milik ketika dana sampai akaun anak guam Lewis & Co. Kesimpulan yang dapat dibuat adalah bahawa terdapat motif di sebaliknya semasa mengemukakan pertuduhan ini.

“Tertuduh dikenakan pertuduhan secara tidak wajar bukan berdasarkan undang-undang atau bukti. Sekali lagi, perkara yang betul harus dilakukan ialah pihak pendakwaan menarik balik tuduhan CBT apabila jelas tidak ada CBT … Anak guam saya telah didakwa tidak berdasarkan undang-undang atau bukti,” katanya.

Hisyam berpendapat bahawa bukan untuk kepentingan umum apabila seseorang yang dituduh secara tidak wajar atau salah.

“Ini mengambil masa mahkamah. Malah, ia adalah penyalahgunaan proses. Mahkamah ini perlu menegaskan bahawa masa mahkamah sangat berharga dan tidak boleh disalahgunakan,” katanya.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan – 12 melibatkan CBT, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit milik YAB. Hujah pembelaan bersambung esok.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles