Tuesday, September 28, 2021

PKPS nafi ceroboh hutan simpan kekal Selangor untuk projek SSAP

PKPS menjelaskan tapak Selangor Smart Agro Park yang berstatus pertanian telah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Other News

Tapak projek pembangunan pertanian bersepadu, Selangor Smart Agro Park (SSAP) yang dikaitkan dengan dakwaan isu percerobohan merupakan tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berstatus tanah pertanian dan bukannya berstatus hutan simpan kekal.

PKPS dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah menceroboh dan membuka sebahagian kawasan Hutan Simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam yang kononnya dikatakan hutan gantian berikutan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Penafian itu merujuk kepada laporan beberapa portal berita yang memetik kenyataan media gabungan badan bukan kerajaan (NGO) The Coalition for the Protection of Selangor’s Forests serta kenyataan Pengarah Global Environmental Centre Faizal Parish dalam satu program temu bual di Awani pada 2 Sept.

“PKPS ingin menegaskan isu nyah warta HSKLU tiada kaitan langsung dengan pihak PKPS. Kami juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kenyataan berniat jahat dan subversif bagi merosakkan imej PKPS dan secara tidak langsung ingin mensabotaj inisiatif kerajaan negeri yang telah dirancang bagi kepentingan rakyat negeri Selangor,” katanya.

PKPS menjelaskan tapak Selangor Smart Agro Park yang berstatus pertanian telah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi surat Bil (9) dlm. PHN.SEL.100-5/3/60 Jld 3 bertarikh 16 April 2021 serta Pelan Fizikal Negara, Pelan Struktur Negeri dan Pelan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam.

Katanya, PKPS ketika ini juga sedang menyiapkan laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) dan telah mematuhi semua saranan dan arahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor sebelum memulakan kerja-kerja pembangunan di tapak SSAP sepertimana yang telah diarahkan oleh JAS menerusi surat kelulusan bertarikh 31 Mei.

Menurutnya, menerusi surat yang sama juga, JAS telah membenarkan PKPS melakukan kerja-kerja pembaikan atau ‘remedy’ seperti pembinaan sistem perparitan, kolam takungan, penstabilan tanah, kawalan hakisan tanah dan kelodakan serta kawalan saliran tanah gambut memandangkan kawasan berkenaan sering dilanda bencana banjir serta selalu dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab semenjak 2000 lagi.

Oleh demikian, PKPS menjelaskan kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh gabungan NGO serta Faizal adalah bersifat ‘mala fide’ serta mempunyai unsur mengaitkan PKPS dengan agenda tersendiri.

“Pihak terbabit seharusnya terlebih dahulu membuat laporan dan mendapatkan penjelasan daripada PKPS atau kerajaan negeri sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas seperti ini,” menurut kenyataan itu.

Justeru, bagi memastikan penyebaran berita palsu seperti ini tidak berulang PKPS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap pihak terbabit dalam masa terdekat kerana cubaan untuk merosakkan nama baik PKPS dan kerajaan dengan membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles