- Iklan -
Berita

Pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram terhadap Azeez tidak boleh bertahan, kata peguam

Menurut peguamnya, pertuduhan pindaan membabitkan pengubahan wang haram kurang butiran yang sekali gus menjejaskan keupayaan Azeez dalam mengemukakan pembelaan berkesan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Pengerusi Tabung Abdul Azeez Abdul Rahim tidak boleh bertahan kerana ahli politik itu merupakan pekerja Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Peguamnya Amer Hamzah Arshad berkata analisis laporan kewangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan Azeez adalah pekerja syarikat itu dan beliau menerima gaji yang sah serta membayar cukai pendapatannya.

“Saya berhujah memandangkan laporan ini tidak dicabar oleh pihak SPRM, mereka menerima fakta bahawa beliau (Azeez) adalah pekerja syarikat Menuju Asas dan menerima gaji yang sah,” katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said.

Beliau berkata berdasarkan fakta ini, pihak berkaitan tidak boleh berbolak-balik kerana dari satu segi, mereka mengakui bahawa Azeez sememangnya makan gaji dengan syarikat itu tetapi pada masa sama, masih mendakwanya dengan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti yang tidak sah daripada majikan.

“Perkara ini jelas tidak boleh bertahan meskipun tanpa perbicaraan penuh,” katanya sambil menambah tiada satu pun pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Azeez boleh bertahan di mana-mana mahkamah.

Azeez, 55, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta yang mempunyai kaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas.

Bagi pertuduhan rasuah, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank, Puchong City Centre, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Azeez didakwa melakukan perbuatan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abang Azeez iaitu Abdul Latif pula pada asalnya berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan beliau menerima RM4 juta sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada kementerian kerja raya.

Bagaimanapun, Latif dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pada Februari susulan permohonan yang dikemukakan pendakwaan.

Pada prosiding hari ini yang dikendalikan secara maya, Amer turut berhujah bahawa pertuduhan pindaan membabitkan pengubahan wang haram kekurangan butiran yang sekali gus menjejaskan keupayaan anak guamnya dalam mengemukakan pembelaan berkesan.