- Iklan -
Berita

Kumpulan penduduk giat tekan Selangor berhubung projek lebuh raya, hutan simpan

Kumpulan penduduk ingatkan kerajaan PH Selangor mengenai janji-janji gabungan itu dalam manifesto pilihan raya mereka sebelum 2018.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Petaling Jaya mahu kerajaan PH Selangor ingati janji pilihan raya yang mahu dasar pembangunan lestari dilaksanakan.
Penduduk Petaling Jaya mahu kerajaan PH Selangor ingati janji pilihan raya yang mahu dasar pembangunan lestari dilaksanakan.

Sekumpulan penduduk di Petaling Jaya menggiatkan tekanan terhadap kerajaan Selangor berhubung projek lebuh raya kontroversi,PJ Dispersal Link (PJD Link) selain tindakan kerajaan menyah warta sebahagian hutan simpan untuk tujuan pembangunan, mengatakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu gagal menunjukkan ketelusan dan tata kelola yang baik dalam kedua-dua isu tersebut.

Kumpulan itu berkata dalam manifesto PH dalam pilihan raya sebelum 2018, ia mengkritik kerajaan Barisan Nasional ketika itu kerana membenarkan pemangunan dilaksanakan tanpa mengambil kira keadaan alam sekitar dan kelestarian hidup, menuduh kerajaan “dikuasai beberapa syarikat dan kapitalis kroni”.

Ia juga mengingatkan ikrar PH untuk mentadbir “berdasarkan prinsip-prinsip kelestarian dan pembangunan lestari”.

“Namun, kami terkejut bila lihat kesombongan politik daripada pihak Hee,” katanya merujuk Exco Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian yang memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerajaan negeri diketuai PKR itu menyahwartakan lebih dari 530 hektar HSKLU bagi dimajukan syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd.

“Disebabkab PH sudah berjanji dalam manifestonya semua pembangunan projek mesti mematuhi standard perlindungan alam sekitar antarabangsa sebelum memberikan kelulusan, sekarang kerajaan PH Selangor bertanggungjawab untuk jelaskan kepada rakyat apakah asas yang dilihat oleh kerajaan ketika memilih Gabungan Indah Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan yang dinyahwartakan dari HSKLU,” kata kumpulan tersebut.

HSKLU diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13% sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan.

Kumpulan itu juga menyelar kerajaan Selangor berhubung projek PJD Link yang dilihat mirip dengan projek Kidex, sebuah projek yang dibatalkan kerajaan Selangor pada 2015 yang ketika itu diketuai Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar selepas didesak penduduk kawasan yang terlibat.

“Hakikat bahawa kerajaan negeri sanggup untuk pertimbang projek yang sama seperti Kidex yang dibatalkan pentadbiran sebelum ini adalah satu hal yang membimbangkan,” katanya.

“Ini mungkini bermaksud sebarang pemaju yang ditolak cadangannya oleh kerajaan negeri boleh pakejkan cadangan itu semula dalam bentuk baru dan berharap akhirnya ia akan diluluskan. Kalau begitu, ia adalah satu pembaziran sumber awam dan boleh melahirkan kebimbangan oleh penduduk negeri ini.”

Kumpulan itu juga turut mengingatkan kerajaan PH Selangor mengenai janji pilihan raya mereka untuk kekal komited dengan pengangkutan awam yang lestari.

“Kami kesal dengan kerajaan Selangor yang bukan sahaja gagal untuk memberikan pelan pengangkutan awam yang komprehensif bagi negeri ini, namun sebaliknya menyanggahi manifestonya sendiri dengan ‘secara dasarnya’ meluluskan lebuh raya tersebut yang memisahkan perbandaran yang matang dan meningkatkan kerosakan alam sekitar.

“Ia adalah lebuh raya yang penduduk Petaling Jaya tak mahu, jelas dan mudah.”

Kumpulan itu turut menggesa Menteri Besar Amirudin Shari untuk menarik semula penyahwartaan HSKLU dan membatalkan projek PJD Link.

“Selagi ia tidak selesai dan secara rasmi dicatat dalam minit mesyuarat kerajaan negeri, rakyat Selangor akan teruskan protes terhadap dua pelan tersebut,” katanya.