Friday, September 24, 2021

KPM kaji buka sekolah di negeri Fasa 4 PPN

KPM adakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan di Labuan bagi melaksanakan pembukaan sekolah di negeri itu dalam keadaan yang selamat.

Other News

Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini berkata pembukaan sekolah akan dijalankan mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kementeriannya sedang menjalankan kajian dan penelitian yang mungkin menyaksikan Labuan menjadi negeri pertama menyaksikan pembukaan sektor tersebut.

Radzi berkata langkah itu dipertimbang susulan peralihan Labuan ke Fasa Empat di mana berdasarkan PPN, hampir keseluruhan sektor ekonomi dan sosial secara umumnya dibenarkan beroperasi.

“Fasa Empat PPN ini menyaksikan negara membuka hampir seluruh sektor dengan hasrat kita kembali kepada normal sebelum ini mengikut SOP-SOP yang ketat.

“Dan kita lihat Labuan adalah satu-satunya negeri yang telah berada di fasa keempat di mana hampir keseluruhan sektor telah dibuka, dan kita sedang melihat cara terbaik bagaimana sektor pendidikan boleh dibuka dalam keadaan selamat,” katanya pada satu sidang media di Labuan hari ini.

Menurut Radzi, pihak kementerian mengambil kira semua aspek tersebut dan pembukaan sekolah bakal di dijalankan mengikut fasa.

“Kita mahu fahami secara keseluruhannya, apakah keadaannya dan kita Insya Allah kita akan ambil kira segala pandangan yang diberikan dalam menyusun dan merangka pembukaan sekolah nanti.”

Dalam pada itu, Radzi juga berkata kementerian di peringkat persekutuan bertemu dengan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan dan pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana Labuan berkaitan cadangan pembukaan sekolah tersebut.

“Pertemuan itu adalah untuk menjelaskan kepada mereka apakah cadangan kami dan mendapatkan input serta pandangan daripada mereka.

“Bagi memastikan kaedah yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak supaya anak-anak kita dapat kembali ke sekolah dengan selamat,” katanya.

Sebelum ini, KPM mengumumkan bahawa sesi pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 3 Oktober 2021 depan selain turut berkata jika terdapat keperluan untuk membuat perubahan KPM akan memaklumkan lebih awal.

KPM turut berkata ketika ini pihaknya berada dalam fasa akhir bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak dalam merangka pelan komprehensif bagi ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles