- Iklan -
Berita

PH sekali lagi dakwa peguam negara ‘derhaka’

Menurut Pakatan Harapan, kenyataan Idrus semalam bertentangan dengan titah Agong.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Instagram Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Instagram Istana Negara

Pakatan Harapan (PH) hari ini sekali lagi mendesak Peguam Negara Idrus Harun meletakkan jawatan kerana didakwa telah menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan.

PH merujuk kenyataan Idrus semalam berhubung keabsahan pelantikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengatakan beliau tidak perlu membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat kerana penubuhan kerajaan baru dan lantikan beliau mengikut lunas undang-undang.

“Kenyataan peguam negara ini bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos yang lalu.

“Beliau bukan sahaja derhaka terhadap Agong, tetapi beliau juga mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen,” kata PH dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut PH Agong telah menitahkan supaya perdana menteri yang dilantik mengesahkan keabsahannya di Dewan Rakyat merujuk kenyataan Istana Negara pada 18 Ogos lalu.

“Titah Agong ini turut ditekankan timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti,” katanya.

PH turut menyifatkan kenyataan Idrus semalam sebagai biadab dan melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Agong. Ini juga merupakan kali kedua peguam negara telah derhaka.”

Semalam, Idrus berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail sebagai perdana menteri, mengatakan jika ia dilakukan memberi makna kuasa mutlak Agong berhubung lantikan tersebut boleh diatasi pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Agong seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

21 Ogos lalu, Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 Malaysia menggantikan Muhyiddin Yassin yang kehilangan majoriti selepas beberapa ahli Parlimen Umno diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak menarik sokongan terhadap beliau.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri selepas Agong mengenal pasti surat akuan 220 ahli Dewan Rakyat berhubung pilihan calon perdana menteri mereka.

Ismail kemudian diumumkan istana telah menerima sokongan dari 114 ahli Dewan Rakyat mengenepikan saingan utamanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.