- Iklan -
Berita

Kini Umno mahu Ahmad Maslan jadi timbalan speaker Dewan Rakyat

Sekutu Najib dan Zahid mahu tunjuk mereka masih mempunyai pengaruh terhadap Ismail.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Pemimpin Umno yang bersekutu dengan Najib Razak sedang berusaha mengangkat penyokong kuatnya, Ahmad Maslan untuk jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan bulan lalu ketika berlakunya kelompongan kuasa, MalaysiaNow difahamkan.

Sekurang-kurangnya dua sumber Umno memberitahu MalaysiaNow nama ahli Parlimen Pontian itu dicadangkan dan kini menunggu kelulusan anggota kerajaan ketika ini.

“Dalam keadaan hampir semua sekutu mereka diketepikan dalam jawatan Kabinet, jawatan sebagai timbalan speaker dilihat sebagai yang terbaik mereka boleh harapkan selain mendapatkan sedikit penguasaan dalam Dewan Rakyat,” kata satu sumber rapat dengan beberapa pemimpin Umno kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Bagaimanapun katanya, agak sukar untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen kerajaan terutamanya dari gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong pencalonan Ahmad.

Ahmad adalah antara bekas pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang dikenali sebagai “kluster mahkamah”, berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah berhubung rasuah dan pengubahan wang.

Ahli Parlimen Pontian itu berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam tiga portfolio sewaktu pentadbiran negara diketuai Najib: di Jabatan Perdana Menteri, kewangan dan perdagangan antarabangsa dan industri.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dengan jelas berkata gabungan itu tidak akan menyokong lantikan individu-individu berdepan pertuduhan jenayah dalam pentadbiran kerajaan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, satu lagi sumber Umno berkata langkah menamakan Ahmad itu menunjukkan kekecewaan kumpulan pro-Najib mengenai komposisi pentadbiran diketuai Ismail Sabri Yaakob.

Katanya pegumuman Ismail untuk melantik Muhyiddin bagi mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan menambahkan lagi kekecewaan mereka.

“MPN ketika ini barangkali menjadi entiti paling berkuasa dalam kerajaan, jadi wujud keperluan kumpulan Najib untuk tunjukkan yang mereka masih mempunyai pengaruh terhadap Ismail,” tambah sumber itu.

MalaysiaNow sedang menghubungi Ahmad bagi mendapatkan respons.

Dewan Rakyat akan bersidang buat pertama kali selepas Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada 13 September di mana ahli-ahli Dewan Rakyat dijangka akan mengundi timbalan speaker baru.

Dalam pada itu, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno berkata parti itu mahu Azalina dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat, dalam usaha dirancang untuk menyingkirkan Azhar Azizan Harun.

Pemimpin Umno itu berkata usaha itu menjadi sukar disebabkan “sokongan tidak rasmi” Azalina datang dari ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Lobi sebahagian ahli Parlimen DAP sebagai sokongan kepada Azalina hanya menyebabkan peluangnya jadi semakin tipis,” tambahnya.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP Hannah Yeoh secara terbuka memuji Azalina ketika beliau mengkritik pentadbiran terdahulu, bahkan menggesa Ismail untuk melantiknya sebagai menteri undang-undang di mana tugasnya turut berkaitan pengurusan perbahasan Dewan Rakyat.

Susulan nama Azalina diketepikan bagi memberi laluan kepada Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang lebih berpengalaman, Yeoh dan beberapa ahli politik lain dari PH menggesa beliau dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat.

“Namun hal itu akan becanggah dengan alasan yang Azalina berikan ketika beliau meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker,” kata sumber tersebut.

Azalina meletakkan jawatan sebagai salah seorang timbalan speaker pada 23 Ogos, beberapa hari selepas menyertai lebih sepuluh ahli Parlimen yang bersekutu dengan Najib dan Ahmad Zahid Hamidi dalam menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin.

Beliau menggunakan alasan konflik antara tugasnya dalam parti dan sebagai ahli Parlimen kerajaan dan pada masa sama menggesa jawatan speaker dan timbalannya dipegang oleh individu yang tidak berpihak dan tidak memegang jawatan politik.

Azhar, speaker Dewan Rakyat ketika ini bukan merupakan ahli kepada mana-mana parti politik berbanding speaker sebelumnya Mohamad Ariff Md Yusof yang pernah bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya umum sebelum kemudiannya menyertai Amanah.

Bagaimanapun, Ariff keluar dari Amanah pada 2018 bagi mematuhi syarat kerajaan PH yang mahu calon speaker Dewan Rakyat terdiri daripada seorang yang bebas.