- Iklan -
Berita

Muhyiddin ikrar bantu PM dalam MPN tanpa sebarang imbuhan

Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri di atas lantikan beliau sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin (kanan) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin (kanan) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Muhyiddin Yassin berikrar untuk membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tanpa sebarang imbuhan di atas lantikan beliau sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri bagi meneruskan usaha memulihkan negara daripada impak pandemik Covid-19.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

“Saya dan anggota MPN akan berperanan membantu perdana menteri dan kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, ruang lingkup tugas beliau termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baru kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.

Beliau berkata lantikan beliau sebagai pengerusi MPN merupakan suatu amanah ketika negara berada krisis pandemik ketika ini.

“Ia (bagi) meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN (MPN) bertaraf menteri.

Sebelum ini, ketika masih berkhidmat sebagai perdana menteri, Muhyiddin turut mempengerusikan MPN dalam usaha berdepan impak pandemik Covid-19.

Beliau mempengerusikan MPN sehingga hari peletakan jawatan pada 16 Ogos lalu berikutan kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat apabila lebih sepuluh ahli Dewan Rakyat Umno diketuai bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap beliau.