- Iklan -
Berita

Hampir 67% dewasa, 48% populasi Malaysia lengkap vaksin Covid-19

Setakat semalam, 20,261,734 individu atau 62% sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-Ntech dos kedua kepada penerima yang hadir secara pandu lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-Ntech dos kedua kepada penerima yang hadir secara pandu lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.

Sebanyak 47.8% atau seramai 15,606,818 daripada keseluruhan populasi di Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik dalam laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan setakat semalam juga, seramai 20,261,734 individu atau 62% sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 35,841,103 dos.

Berdasarkan perkongsian maklumat itu juga, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 66.7% setakat semalam berbanding 65.9%, pada Khamis.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 321,349 dos diberikan, iaitu 177,518 merupakan dos kedua dan baki 143,831 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bertujuan melaksanakan program vaksinasi bagi membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.