Tuesday, September 28, 2021

Nizar rekod perintah persetujuan kes tunggakan cukai RM13.16 juta

Nizar akan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai terhadapnya LHDN.

Other News

Anak bekas perdana menteri Najib Razak, Mohamad Nizar, telah merekodkan perintah persetujuan dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung pembayaran dalam kes tunggakan cukai sebanyak RM13.16 juta.

Susulan itu, Nizar, 43, yang juga ahli perniagaan, akan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai terhadapnya oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Nizar, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

Seorang lagi peguam Nizar iaitu Wee Yeong Kang berkata perintah persetujuan itu direkodkan di hadapan SCIT pada 26 Ogos lepas.

Beliau berkata perintah persetujuan itu adalah berkaitan taksiran cukai tambahan bagi tahun 2011 hingga 2017 termasuk faedah 10% dan penalti lima peratus yang berjumlah RM13,159,821.94.

“Beliau (Mohamad Nizar) akan menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan. Kami telah meng-e-melkan notis untuk tidak meneruskan kepada cawangan litigasi LHDN di Kuala Lumpur hari ini dan akan memfailkan notis itu sebaik sahaja ia dipersetujui oleh cawangan litigasi LHDN tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Perkara itu disebut ketika pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman hari ini.

Wee hadir bagi pihak Nizar manakala LHDN diwakili peguam kanan hasil Muhammad Nabil Abdul Halim.

Wee juga berkata pengurusan kes seterusnya telah ditetapkan pada 9 September untuk kemas kini berhubung status notis untuk tidak meneruskan rayuan itu.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Nizar dan memerintahkan beliau untuk membayar tunggakan taksiran cukai dari 2011 hingga 2017 sebanyak RM13.16 juta.

Mohamad Nizar kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes yang didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Julie Lack Abdullah memutuskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh Nizar tidak mempunyai merit dan tidak mempunyai asas untuk dibicarakan.

Beliau berpendapat bahawa pembayar cukai perlu membayar cukainya dulu tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati dengan jumlah itu atau atas apa alasan sekali pun.

Pada 31 Mei lepas, Nizar bersetuju menyelesaikan tunggakan cukainya kepada LHDN.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles