- Iklan -
Berita

MB Selangor setuju pertimbang semula nyah warta HSKLU, projek lebuh raya kontroversi, kata PH

PH Selangor berkata mereka berbincang dalam satu menyuarat hari ini yang dihadiri semua ketua parti komponen.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Projek lebuh raya PJD Link mendapat bantahan penduduk sekitar kawasan yang terlibat.
Projek lebuh raya PJD Link mendapat bantahan penduduk sekitar kawasan yang terlibat.

Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini berkata Menteri Besar Amiruddin Shari bersetuju mempertimbangkan hala tuju dan keputusan kerajaan negeri dalam isu Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan cadangan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu hadapan.

PH Selangor berkata mereka berbincang dalam satu menyuarat hari ini yang dihadiri semua ketua parti komponen.

“Semua pihak menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing.

“Pada masa yang sama, bantahan terhadap cadangan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut diberi perhatian dan dibincangkan dengan panjang lebar,” kata PH Selangor dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka juga berkata, mesyuarat itu turut menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuh raya Kidex atau yang “seumpama dengannya”yang dibatalkan ketika pentadbiran menteri besar terdahulu, Mohamed Azmin Ali.

Pada Isnin, Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bahawa kerajaan negeri diketuai PKR itu menyahwartakan lebih dari 530 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi dimajukan syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd.

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin berkata kementerian turut tidak bersetuju dengan langkah penyahwartaan tersebut, mengatakan Malaysia komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan.

“Kementerian tenaga dan sumber asli (Ketsa) dan jabatan/agensi di bawah kementerian telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini khususnya di peringkat awal cadangan oleh kerajaan negeri Selangor.

“Pihak kementerian dan jabatan/agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun 2020,” katanya.

HSKLU diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13% sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan.