- Iklan -
Berita

Guru Kafa degil tak mahu divaksinasi mungkin dilarang bertugas, kata Sultan Selangor

Tindakan sama juga akan diambil terhadap pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksinasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin Covid-19 bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah tindakan sama juga akan diambil terhadap pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksinasi.

Baginda difahamkan seramai 326 guru Kafa di Selangor masih belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 guru enggan menerima suntikan berkenaan.

Selain itu, 59 pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 11 orang enggan menerima suntikan. Sembilan jurunikah juga belum divaksin manakala enam yang lain dikenal pasti enggan menerima suntikan itu.

“Bagi golongan yang memilih untuk tidak mahu divaksin, beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai. Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid-19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk.

“Beta bimbang jika masih ada guru Kafa yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan pelajar.

“Beta berharap Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah di Selangor ini,” titah baginda.

Baginda turut difahamkan terdapat 268 orang guru sekolah kebangsaan (SK) dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Selangor yang enggan divaksin.

“Ini juga boleh membahayakan pelajar sekolah rendah dan SMK di Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru rakyat agar tidak khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin dan menjelaskan bahawa isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 telah banyak kali disebut di dalam khutbah Jumaat dan kenyataan akhbar yang dikeluarkan baginda.