- Iklan -
Berita

Putrajaya tak setuju penyahwartaan hutan simpan Kuala Langat

Takiyuddin berkata Malaysia komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan hari ini berkata kementerian tidak bersetuju terhadap tindakan kerajaan Selangor yang menyahwartakan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Dalam sebuah kenyataan, Takiyuddin berkata Malaysia komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa

“Kementerian tenaga dan sumber asli (Ketsa) dan jabatan/agensi di bawah kementerian telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini khususnya di peringkat awal cadangan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Pihak kementerian dan jabatan/agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun 2020,” katanya.

Takiyuddin berkata kementeriannya memandang berat isu penyahwartaan berkenaan yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

Katanya, sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan Selangor adalah pada 31.74%.

Selain itu kementeriannya juga mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan 4 kawasan hutan berasingan meliputi Hutan Simpan Sungai Panjang, Buloh Telor Barat, Buloh Telor Timur dan Broga sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Selain itu Takiyuddin turut mengingatkan kerajaan Selangor memastikan kawasan hutan yang telah dinyah warta tersebut dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari termasuk memastikan kecukupan zon penampan dan mematuhi semua syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Ini bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli,” jelasnya.

30 Ogos lalu, Exco Selangor, Hee Loy Sian mendedahkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang dibuat pada Mei ketika sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Penyahwartaan membabitkan 536.70 hektar kawasan di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 dibuat setelah keputusan dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Mei lalu.