- Iklan -
Berita

Negeri Sembilan tinggal satu langkah beralih ke fasa pembukaan penuh

Perdana Menteri Ismail Sabri gesa rakyat Malaysia bersedia untuk hidup bersama Covid-19 ketika negara bakal beralih ke fasa endemik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Keluarga menikmati pemandangan Pantai Tanjung Biru di Port Dickson, Negeri Sembilan. Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara. Gambar: Bernama
Keluarga menikmati pemandangan Pantai Tanjung Biru di Port Dickson, Negeri Sembilan. Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara. Gambar: Bernama

Putrajaya hari ini mengumumkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada 4 September depan ketika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan tingkah laku seperti untuk hidup bersama virus.

“Rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

“Justeru, kementerian kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata kerajaan juga bersetuju untuk mengalihkan status Melaka ke Fasa Dua di bawah PPN bermula Sabtu ini.

Beliau turut mengumumkan sidang khas pengurusan Covid-19 akan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang akan turut melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

“Pendekatan ini merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia,” kata Ismail menggunakan slogan yang beliau perkenalkan sewaktu perutusan sulung sebagai perdana menteri.

Purata kebolehjangkitan lebih rendah

Dalam pada itu, Ismail turut menyuarakan kelegaan selepas kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) menurun di bawah 1.0 bagi kali pertama sejak beberapa bulan lalu.

R-naught merujuk kepada jumlah angka orang yang dijangkiti yang boleh menyebarkan virus penyakit itu kepada orang lain.

Menurut Ismail juga mesyuarat juga bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program “travel bubble” berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk kembali dibuka kepada pelancong tempatan bermula 16 September depan.

“Destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80%,” katanya.

PPN untuk wabak Covid-19 terbahagi kepada empat fasa di mana peralihan fasa akan membenarkan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dalam negara.

Kedah, Johor, Selangor, Kuala Lumpur and Putrajaya ketika ini masih di Fasa Satu.

Melaka akan menyertai Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah, Perak dan Pulau Pinang yang kini berada dalam Fasa Dua.

Negeri Sembilan akan menyertai Perlis dan Sarawak dalam Fasa Tiga.

Sementara Labuan menjadi satu-satunya negeri yang berada di Fasa Empat ketika ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata negara akan memasuki fasa endemik pada akhir bulan Oktober depan.

Menurutnya, Covid-19 akan diuruskan seperti penyakit-penyakit endemik lain, dan KKM sedang menyiapkan pelan peralihan negara kepada norma baru.

“Kita perlu sedia terima hakikat walaupun kita berjaya mengawal Covid-19,dari segi kes jangkitan, kematian dan kemasukan ke hospital.

“Kita perlu terima hakikat Covid-19 ini akan menjadi endemik, dan kita hidup bersama dengan virus ini.”

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.