- Iklan -
Berita

Moderna anggap vaksin tercemar keluli tahan karat selamat, tidak berisiko

Namun syarikat itu berkata vaksin tercemar yang dilaporkan di Jepun adalah disebabkan aliran pembuatan di sebuah kilangnya di Sepanyol.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Japan menggantung penggunaan sekitar 1.6 juta dos vaksin Covid-19 Moderna selepas didapti tercemar. Gambar: AP
Japan menggantung penggunaan sekitar 1.6 juta dos vaksin Covid-19 Moderna selepas didapti tercemar. Gambar: AP

Beberapa kumpulan vaksin Moderna yang dihantar ke Jepun dilaporkan tercemar selepas dikesan mengandungi partikel keluli tahan karat, namun syarikat itu berkata ia tidak menjangka vaksin itu memberi “risiko tidak sewajarnya terhadap keselamatan pesakit.”

Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS) itu kini berdepan isu besar di Jepun, apabila lebih ratusan ribu dos vaksin Moderna digantung susulan laporan bendasing dikesan dalam bebuli vaksin Covid-19 tersebut.

Pihak berkuasa juga sedang menyiasat kematian dua lelaki yang menerima suntikan dos dari satu kumpulan vaksin dilaporkan tercemar itu.

Namun, punca kematian mereka masih belum dikenal pasti, setakat ini.

Dalam sebuah kenyataan bersama rakan kongsinya di Jepun, Takeda, Moderna berkata, pencemaran dalam satu daripada tiga kumpulan vaksin digantung itu dikesan membabitkan kelemahan aliran pengeluaran di sebuah kilang yang dikendalikan kontraktornya di Sepanyol, ROVI Pharma Industrial Services.

“Kewujudan partikel keluli tahan karat terbabit yang jarang berlaku dalam vaksin Moderna, tidak memberi risiko tidak sewajarnya terhadap keselamatan pesakit.

“Ia juga tidak memberi kesan buruk terhadap manfaat atau risiko produk berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, partikel metalik pada saiz terbabit yang disuntik ke dalam otot, berkemungkinan menyebabkan reaksi ketika diberikan namun ia dijangka akan melebihi daripada reaksi tersebut.

“Keluli tahan karat lazim digunakan dalam rawatan injap jantung, penggantian sendi dan jahitan serta cantuman membabitkan logam.

“Justeru, suntikan yang mengandungi partikel dikenal pasti dalam lot vaksin di Jepun itu tidak dijangka akan menyebabkan peningkatan risiko perubatan,” katanya.

Setakat ini, Moderna berkata, tidak ada bukti menunjukkan dua kematian terbabit berkait dengan suntikan vaksin tersebut selain “kaitannya buat masa ini dianggap sebagai kebetulan.”

Siasatan mengenai kematian tersebut masih berjalan ketika ini.

Minggu lalu, Jepun menggantung penggunaan kira-kira 1.63 juta dos vaksin Moderna di seluruh negara itu.

Sekitar 46% populasi Jepun telah menerima vaksin lengkap ketika negara itu berdepan peningkatan kes tinggi susulan penularan varian Delta.

Lebih 16,000 korban Covid-19 telah dicatatkan di Jepun dan sebahagian besar kawasan di negara itu kini dikenakan sekatan pergerakan bagi membendung virus tersebut.