Saturday, September 25, 2021

Iran rancang rundingan baru bersama Arab Saudi

Kedua-dua negara yang bermusuhan itu memutuskan hubungan diplomatik pada 2016.

Other News

Iran merancang untuk mengadakan rundingan kali keempat dengan negara saingannya Arab Saudi di Iraq selepas kerajaan baru Iran dibentuk, kata duta Iran di Baghdad pada Selasa.

Iran dan Arab Saudi, menjadi wakil kepada kuasa Muslim Syiah dan Sunni di Timur Tengah, kedua-dua negara itu dilihat sentiasa bermusuhan sejak beberapa tahun lalu selepas mendukung sekutu-sekutu mereka dalam perang proksi di Yaman, Syria dan beberapa wilayah lain.

Kedua-dua negara itu juga memutuskan hubungan diplomatik pada 2016.

Pada Mei lalu, buat kali pertama Iran mengesahkan secara terbuka ia sedang berunding dengan Arab Saudi, mengatakan ia akan melakukan sedaya upayanya untuk menyelesaikan isu-isu antara kedua-dua negara.

Sejak pengumuman tersebut, Iran telah menyaksikan presiden barunya Ebrahim Raisi dilantik pada 5 Ogos lalu.

Pengumuman rancangan rundingan terbaru itu dilaporkan oleh Isna, sebuah agensi separa rasmi kerajaan Iran susulan sidang kemuncak di Baghdad bagi membantu meringankan ketegangan antara negara-negara jiran Iraq.

“Kami sudah mengadakan tiga kali rundingan dengan Arab Saudi, dan rundingan keempat akan diadakan selepas kerajaan baru Iran terbentuk,” kata Duta Iran ke Iraq Iraj Masjedi.

Rabu lalu, Parlimen Iran meluluskan kesemua melainkan seorang calon bagi menganggotai Kabinet yang diketuai Raisi.

Dalam pada itu, menteri luar negeri Iran berkata beliau telah berbincang mengenai cara-cara membaiki hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika pertemuan bersama Naib Presiden UAE Syeikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum di sidang kemuncak Baghdad.

“Dalam perbincangan itu, kami bincang mengenai niat positif dan tekad antara pemimpin-pemimpin dua negara bagi perkukuh hubungan… Bekerjasama dengan negara-negara jiran adalaj keutamaan kerajaan baru Iran,” kata Menteri Luar Negeri Hossein Amirabdollahian di Twitter.

Hubungan tegang antara Iran dan UAE tercetus selepas negara teluk yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat tersebut memutuskan untuk melaksanakan normalisasi dengan Israel yang merupakan musuh utama Tehran.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles