- Iklan -
Berita

265 kes varian Delta dikesan dalam tempoh 2 minggu, kata KP kesihatan

Setakat ini, jumlah kes jangkitan dikategorikan sebagai varian yang membimbangkan dan varian yang perlu diberi perhatian adalah sebanyak 1,221 kes.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan mengambil sampel ujian swab untuk saringan Covid-19.
Petugas kesihatan mengambil sampel ujian swab untuk saringan Covid-19.

Kajian berterusan oleh tiga institut penyelidikan di negara ini telah mengenal pasti 265 kes varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2) sejak 16 hingga 29 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti 39 kes varian Delta, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE), Universiti Teknologi MARA (48 kes) dan Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (178 kes).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) adalah sebanyak 1,221 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 1,201 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan sehingga kini bagi VOC, terdapat sebanyak 978 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Bagi VOI pula terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.