Sunday, September 26, 2021

Peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua terabai, disewakan untuk perniagaan

Tapak pertempuran Perang Dunia Kedua tidak mendapat perhatian sewajarnya, bakal hilang jika tidak dijaga.

Other News

Di seluruh Semenanjung Malaysia, wujud ratusan tapak bersejarah yang satu waktu dulu pernah menyaksikan peristiwa-peristiwa sejarah Perang Dunia Kedua.

Pantai Sabak di Kota Bharu, Kelantan misalnya menjadi lokasi pertempuran pertama Perang Dunia Kedua di pentas Pasifik apabila Jepun mendaratkan tenteranya beberapa jam sebelum serangan di Pearl Harbour, Amerika Syarikat pada 7 Disember 1941.

Namun hari ini, hampir lapan dekad kemudian, peristiwa-peristiwa itu kini dicatat dalam buku-buku sejarah dan kenangan mereka yang hidup di zaman tersebut.

Meskipun lokasi-lokasi ini mempunyai nilai sejarah, ia tidak mendapat perhatian sepenuhnya oleh pihak berkuasa sehingga mendorong sekumpulan aktivis pencinta sejarah berjuang bagi mengekalkan tapak-tapak sejarah tersebut daripada hilang ditelan zaman.

Malaya Historical Group (MHG) menghimpunkan beberapa aktivis sejarah yang giat mencari, mengumpul dan memelihara artifak serta tapak tinggalan sejarah Perang Dunia kedua di semenanjung.

Green Ridge di Kampar, Perak. Sebuah lokasi bersejarah yang dipulihara dan diselenggara oleh Malaya Historical Group.

Pengerusi MHG Shaharom Ahmad berkata terdapat banyak tapak pertempuran antara Jepun dan tentera Komanwel semasa Perang Dunia Kedua, namun tidak banyak yang masih tinggal untuk tatapan generasi kini.

Katanya contohnya di utara tanah air, pertempuran terjadi di Jitra, Kodiang dan Changlun dan di lokasi berhampiran lapangan terbang di Kepala Batas.

Sementara di Perak pula, pertempuran terjadi di Kuala Kangsar, Teluk Intan, Chemor dan Kampar.

“Namun tidak banyak yang boleh dipelihara. Kerana itu kami berjuang untuk menyelamatkan tapak pertempuran di Green Ridge, Kampar, Perak. Di tapak ini banyak yang masih kekal bentuk asalnya seperti tapak kubu dan parit pertahanannya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Berhampiran tapak itu dahulu ada Thompson Ridge yang juga tapak pertempuran namun menjadi kawasan perumahan. Kesan-kesan sejarah di situ sudah tiada, hanya tinggal di Green Ridge.”

Kawasan pendaratan Jepun di Pantai Sabak, beserta kubu-kubu pertahanan British hilang akibat hakisan pantai sehingga satu kilometer.

Katanya, kebanyakan tapak yang berkaitan Perang Dunia Kedua berada dalam kawasan yang dimiliki oleh individu persendirian atau syarikat korporat yang menyulitkan usaha pemuliharaan, memandangkan usaha itu memerlukan persetujuan pemilik.

Tentera Jepun diketuai Jeneral Tomoyuki Yamashita menggempur Tanah Melayu dan berjaya merampasnya dari tangan British dalam masa beberapa bulan.

Kekalahan akhir British di Singapura dianggap sebagai kekalahan paling memalukan empayar British.

Sepanjang kempen, mereka berdepan tentangan daripada pasukan tentera Australia dan dari India serta askar Melayu.

Peninggalan sejarah disewakan untuk perniagaan

Shaharom menceritakan, di sebuah berek di Parit Sulong di Batu Pahat, Johor misalnya, tentera Jepun menggunakannya untuk menahan dan mendera tahanan-tahanan perang.

Berek itu menjadi uzur dan daif akibat peredaran zaman.

Katanya, ia dipulihkan dengan inisiatif pihak berkuasa dan diserahkan kepada majlis daerah.

Bagaimanapun, majlis daerah kemudiannya menyewakan berek tersebut kepada pengusaha-pengusaha kedai.

“Ia wajar dijadikan muzium atau galeri supaya dikekalkan bentuk asalnya. Kerana kami memperjuangkan agar berek ini dikekalkan kerana ada kesan-kesan pendudukan Jepun.

“Kerana ini, orang tempatan menuduh kami cuba menutup periuk nasi mereka,” katanya yang memberitahu, pihaknya menerima persetujuan daripada Australia War Memorial untuk badan itu memberi artifak milik badan itu sebagai bahan pameran untuk galeri itu.

Sehingga kini, usaha untuk menjadikan berek itu sebagai galeri atau muzium masih belum menemui kejayaan.

MHG juga giat memasang papan-papan tanda di tapak-tapak penting menggunakan dana sendiri, sebagai cara mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan tapak berkenaan.

Bukan itu sahaja stigma negatif yang diterima pihaknya.

MHG sering dipanggil untuk membawa pengkaji sejarah, waris tentera dan diplomat dari United Kingdom, Britain dan Australia ke tapak-tapak tersebut.

Shaharom Ahmad (kiri) memakai uniform tentera British menerangkan perihal peralatan perang dalam sebuah acara bersama pelajar sekolah.

Pada lawatan-lawatan itu, ahli-ahli MHG akan mengenakan uniform tentera British sebagai salah satu cara mendidik masyarakat, selain cara untuk mengenang sejarah.

Ia menjadi “trademark” kumpulan itu.

Bagaimanapun, segelintir orang ramai menganggap mereka mengagungkan sejarah penjajah berbanding sejarah sendiri.

“Mereka sukar terima perkara berkaitan sejarah perang dunia kedua. Tak boleh nak salahkan mereka kerana faktor kesukaran hidup zaman itu.

“Kami tidak mengagungkan penjajah, namun usaha ini perlu bagi mendidik masyarakat mengenai peristiwa penting supaya kita menghayati dan mempelajarinya.

“Hendak capai kemerdekaan bukan senang. Kesengsaraan semasa perang akan jadikan kita sedar supaya jangan diulang lagi peristiwa tersebut,” kata Shaharom.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles