- Iklan -
Berita

Muhyiddin ucap tahniah kepada barisan Kabinet Ismail

Muhyiddin berharap Kabinet baru kerajaan akan terus menumpukan usaha melawan Covid-19 dan mencapai sasaran program vaksinasi kebangsaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri I Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Perpaduan NegaraWan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed ketika menghadiri majlis angkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini. Gambar: Bernama
Muhyiddin Yassin bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri I Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Perpaduan NegaraWan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed ketika menghadiri majlis angkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan tahniah kepada barisan jemaah menteri diketuai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, berharap mereka dapat melaksanakan tugas dengan memberi keutamaan memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

“Program vaksinasi yang menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan 625 populasi dewasa setakat ini menerima dua dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan peletakan jawatannya, Muhyiddin bersama sekitar 50 ahli Parlimen di bawah gabungan Perikatan Nasional yang diketuainya telah mendukung Ismail sebagai pengganti beliau.

Pada 19 Ogos lalu, Muhyiddin berkata sokongan terhadap Ismail adalah dengan syarat Kabinet baru yang ditubuhkan tidak dianggotai individu yang berdepan pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata sokongan terhadap Ismail adalah demi memastikan kesinambungan dasar-dasar PN yang memberikan tumpuan untuk melawan pandemik Covid-19 dan memulihkan negara sehingga waktu sesuai untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sekali gus mengadakan pilihan raya.

Beliau berkata kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail juga harus meneruskan amalan pemisahan kuasa, mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan raja berperlembagaan.

Pada Jumaat lalu, Ismail telah menamakan 31 menteri dalam penubuhan Kabinet beliau yang dilihat mengekalkan sebahagian besar menteri dari Kabinet pentadbiran Muhyiddin sehingga mencetuskan kecaman dari Umno dan pembangkang.