Saturday, September 25, 2021

Kumpulan aktivis alam sekitar selar keputusan Selangor nyah warta hutan simpan

Sahabat Alam Malaysia berkata ia bercanggah dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa berhubung perubahan iklim selain merosakkan alam sekitar.

Other News

Kumpulan aktivis alam sekitar Sahabat Alam Malaysia menyelar keputusan kerajaan Selangor yang mahu meneruskan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) bagi memberikan laluan kepada pembangunan komersial, memberikan amaran langkah tersebut bercanggah dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa selain bakal memberikan impak buruk terhadap alam sekitar.

Dalam sebuah kenyataan, Presiden SAM Meenakshi Raman berkata KLNFR adalah salah satu hutan gambut yang masih kekal di kawasan selatan negeri itu.

“Pendirian kerajaan Selangor perlu dikecam, dan ia bercanggah dengan prinsip-prinsip alam sekitar dan pentadbiran sosial,” katanya.

Beliau berkata kesimpulan untuk menyah warta hutan simpan tersebut bercanggah dengan pelbagai ikrar komitmen Malaysia mengenai perubahan iklim dunia, perlindungan biodiversiti dan hak-hak Orang Asli.

“Sebagai hutan tanah gambut, KLNFR adalah sebuah ekosistem biodiversiti dan karbon berharga. Penukaran kawasan itu kepada lokasi komersial akan menyebabkan tahap pelepasan karbon yang tinggi dan kehilangan biodiversiti, termasuk spesies tumbuhan dan haiwan terancam,” katanya dan menambah beberapa komuniti Orang Asli yang bergantung dengan sumber hutan itu juga turut akan terkesan dngan keputusan tersebut.

Meenakshi berkata keputusan kerajaan negeri itu bercanggah dengan perancangan pembangunannya sendiri kerana KLNFR layak berada di bawah Ranking 1 Kawasan Sensitif Alam Sekitar dalam Rancangan Fizikal Negara Ketiga yang melarang pertukaran statusnya kepada kawasan pembangunan.

Beliau turut memetik Rancangan Struktur Selangor 2035 yang menyasarkan sekurang-kurangnya 32% negeri itu diliputi hutan.

“Pelan Tempatan Kuala Langat 2030 turut mengkategorikan KLNFR sebagai zon larangan pembangunan,” tambahnya.

Meenakshi turut memetik petisyen dalam talian yang kini mengumpul 130,000 tandatangan dan kempen di media sosial #hutanpergimana yang merekodkan 1,500 orang menyertai kempen protes terhadap Adun negeri itu.

Exco Selangor Lee Hoy Sian berkata dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini sejumlah 536.7 hektar KLNFR akan dibangunkan yang merupakan 54% kawasan dari 931.17 hektar kawasan hutan yang dicadang untuk dibangunkan pada awalnya.

Lee, yang memegang portfolio pelancongan, alam sekitar, teknologi hijau dan hal ehwal Orang Asli berkata kerajaan Selangor akan mempertimbangkan bantahan-bantahan yang disuarakan berhubung keputusannya di bawah Seksyen 12 Akta Perhutan Negara 1984.

Namun Meenakshi berkata bantahan tersebut bukan meminta pengurangan saiz penyahwartaan kawasan tersebut.

“Mereka tuntut semua usaha penyahwartaan dibatalkan terus,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles