- Iklan -
Berita

Jadikan kilang sebagai PPV jika miliki pekerja asing, kata PM

Ismail berkata kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukan menjadi pusat penyebaran Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara.
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menegaskan agar semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing menjadikan premis mereka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, Ismail berkata kilang-kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukan menjadi pusat penyebaran Covid-19.

“Saya juga telah berjumpa dan berbincang dengan ketua setiausaha kementerian kesihatan dan ketua pengarah kesihatan supaya pekerja asing tidak lagi perlu beratur dan menyebabkan kesesakan di PPV sebaliknya hanya mendapatkan vaksin di tempat mereka bekerja.

“Pendirian kerajaan adalah jelas dan tegas bahawa sesebuah kilang itu hanya dibenarkan untuk beroperasi semula setelah mencapai 80% kadar vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata pemberian vaksin secara pandu lalu juga akan dipertingkat dalam masa terdekat supaya rakyat tidak perlu menunggu lama, cukup sekadar 15 minit di dalam kereta dan boleh terus mendapatkan dos suntikan.