Saturday, September 25, 2021

Ahli Parlimen PKR selar Selangor kerana mungkir janji manifesto PRU14 berhubung projek lebuh raya

Leong memberikan amaran dan menggesa kerajaan Selangor mengkaji semula keputusan itu atau mereka akan berisiko dihukum pada pilihan raya akan datang.

Other News

Seorang ahli Parlimen PKR menyelar kerajaan Selangor berhubung keputusan untuk membenarkan pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), sebuah projek lebuh raya empat lorong yang akan melibatkan beberapa kawasan kejiranan utama selain dilihat sebagai penjenamaan semula projek lebuh raya yang dibatalkan susulan protes penduduk enam tahun lalu.

Ahli Parlimen Selayang William Leong memberikan amaran dan menggesa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula keputusan atau mereka akan berisiko dihukum oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

Beliau merujuk pendedahan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bahawa kerajaan negeri bersetuju secara dasarnya untuk pembinaan PJD Link dengan beberapa syarat yang dilihat melanggar manifesto PH pada Pilihan Raya Umum 2018.

“Kelulusan bersyarat ini menafikan tujuan janji pilihan raya. Dengan mengundi kepada kerajaan Pakatan Harapan, ia menjadi jaminan bahawa rakyat Selangor akan terhindar daripada kegelisahan, usaha dan perbelanjaan yang diperlukan dalam mengemukakan bantahan ke atas projek-projek lebuh raya seperti apa yang mereka terpaksa lalui semasa issue Kidex,” kata Leong merujuk projek lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) yang dibatalkan menteri besar ketika itu Mohamed Azmin Ali.

“Kini, mereka perlu melakukan langkah yang sama untuk PJD Link,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, penduduk di kawasan yang terlibat dengan projek tersebut menyuarakan kebimbangan berhubung sikap berdiam diri wakil rakyat kawasan tersebut walaupun beberapa kali mengadakan tunjuk perasaan.

Pembinaan PJD Link dirancang bermula selepas plaza tol NKVE hingga Lebuh Raya Sprint, dan berakhir di Lebuh Raya Bukit Jalil, menghubungkan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

Pengkritik perojek tersebut berkata jajaran projek tersebut hampir serupa dengan Kidex yang dibatalkan Azmin pada Februari 2015, lima bulan selepas beliau menggantikan Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Leong menyifatkan syarat bagi syarikat konsesi untuk mengadakan penglibatan awam dengan penduduk yang tinggal di sepanjang jajaran tersebut hanyalah “satu tugasan perhubungan awam semata-mata”.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bantahan penduduk tidak dipertimbangkan secara serius.

“Syarat tersebut dianggap dipenuhi dengan mengadakan mesyuarat tanpa mengambil kira bantahan yang dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles