- Iklan -
Berita

Hidup dengan doa: Ketika jintan dan air garam kalahkan vaksin Covid

Pakar kesihatan berkata penting untuk setiap orang mendapatkan vaksin bagi melindungi golongan berisiko, namun penjaga rumah anak yatim di Sarawak menolak suntikan kedua.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan di PPV Axiata Arena Bukit Jalil. Pakar berkata golongan kanak-kanak berisiko dijangkiti Covid-19 dari ibu bapa atau penjaga yang tidak divaksin.
Petugas kesihatan di PPV Axiata Arena Bukit Jalil. Pakar berkata golongan kanak-kanak berisiko dijangkiti Covid-19 dari ibu bapa atau penjaga yang tidak divaksin.

Ketika vaksin Covid-19 tiba di negara ini, Alina (bukan nama sebenar) yang menjaga dan merawat anak-anak yatim dan kurang bernasib baik di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Sarawak berazam untuk mendapatkan suntikan.

Seperti ratusan ribu yang lain di seluruh negara, Alina menunggu gilirannya untuk mendapatkan kembali sebahagian rutin kehidupan yang dirampas virus itu ketika ia menular di Malaysia awal tahun lalu.

Dia mendaftarkan nama untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), pada hari suntikan pertamanya, dia pergi ke pusat pemberian vaksin.

Namun, setelah menerima dos pertama, Alina mengalami kesan sampingan yang buruk dan kini enggan menyelesaikan dos kedua.

Alina merupakan salah seorang daripada ramai indvidu yang menghadapi keraguan terhadap vaksin.

Petugas kesihatan berulang kali bercakap dengannya, menasihati supaya Alina menyelesaikan suntikan vaksinnya.

Mereka berkata memandangkan umurnya – 61 tahun dan mempunyai diabetes dalam rekod perubatannya, Alina berisiko tinggi dijangkiti virus yang setakat ini meragut lebih 15,000 nyawa di Malaysia.

Namun Alina masih menolak suntikan kedua, dia percaya suntikan itu boleh membunuhnya sebelum dia dijangkiti virus tersebut.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia memetik mesej yang diterima di WhatsApp mendakwa suntikan vaksin Covid-19 boleh membawa maut.

“Saya tahu penting dapatkan vaksin,” katanya.

“Tapi saya juga dengar banyak cerita tentang kesan vaksin. Ada yang kata reaksi tubuh badan untuk suntikan kedua mungkin akan jadi dua kali lebih buruk dari yang pertama.”

Ketika dihubungi, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah berkata pusat jagaan kanak-kanak yang dikendalikan Alina belum memperbaharui lesennya sejak 2018.

Fatimah juga berkata pusat-pusat jagaan tersebut hanya dibenarkan beroperasi setelah pengendali, penyelia dan kakitangannya mendapat vaksin lengkap.

“Semua pusat jagaan mesti didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak,” katanya.

“Jika tidak dapat vaksin, mereka tidak boleh beroperasi.

“Sekiranya lesen mati, ia mesti diperbaharui kerana proses pendaftaran melibatkan pematuhan SOP dengan beberapa syarat daripada agensi teknikal bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kesihatan penduduk.”

Dalam kes Alina, selain risiko dijangkiti virus itu, wujud juga kebimbangan mengenai anak-anak di bawah jagaannya.

Pakar kesihatan memberi amaran kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun sangat berisiko dijangkiti virus kerana tidak menerima vaksin seperti orang dewasa.

Walaupun kerajaan baru-baru ini memberi lampu hijau untuk vaksinasi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di bawah PICK, kanak-kanak di bawah 18 tahun masih merupakan sebahagian besar populasi yang masih tidak mendapat vaksin.

Di Sarawak, hal ini menjadi kebimbangan terbaru ekoran peningkatan jangkitan Covid-19 baru-baru ini.

Pada 27 Ogos, Sarawak mencatat lebih dari 2,200 kes baru, dengan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 107,296 selain mencatat 513 kematian setakat ini.

Usaha vaksinasi di Sarawak menyaksikan 87.3% orang dewasa mendapat vaksin lengkap sementara 90.7% lagi diberikan dos pertama.

Kini, sebilangan besar jangkitan baru yang dilaporkan di negeri tersebut adalah kes asimptomatik atau kes ringan.

Namun kebimbangan masih wujud berhubung risiko jangkitan terhadap kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang belum diberi vaksin lebih cenderung dijangkiti oleh ibu bapa atau penjaga mereka yang tidak divaksinasi,” kata Dr Ong Eng-Joe, pakar pediatrik di Pusat Perubatan Borneo, kepada MalaysiaNow.

“Kanak-kanak juga boleh menyebabkan penularan dalam masyarakat, menyebabkan lebih ramai orang dijangkiti dan mungkin kehilangan nyawa akibat Covid-19.”

Melihat kemasukan pesakit ke ICU dan kematian akibat Covid-19 menunjukkan kebanyakannya adalah individu yang tidak divaksinasi.

Bagi Alina, tidak mendapatkan suntikan vaksin kedua akan meningkatkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak di bawah jagaannya.

Sejak pertengahan Ogos, kanak-kanak menyumbang 25% hingga 30% kes positif di Sarawak.

Daripada tiga kematian yang dicatatkan di negeri itu pada 27 Ogos lalu, satu kes adalah lelaki berusia 17 tahun dari Kuching yang mengalami komorbiditi.

Ong berkata sangat penting bagi ibu bapa divaksin bagi mengurangkan risiko Covid-19 menjangkiti anak-anak mereka.

Beliau merujuk komplikasi yang sangat teruk akibat jangkitan Covid-19 yang dikenali sebagai MIS-C atau sindrom radang pelbagai sistem pada kanak-kanak.

“Covid-19 boleh menyebabkan kematian kepada sesetengah kanak-kanak,” katanya.

“Mereka mungkin terkena jangkitan yang teruk dan mati akibat penyakit ini.”

Seorang lagi pakar kesihatan, Dr Teh Siao Hean, bersetuju ibu bapa dan penjaga perlu dapatkan vaksin secepat mungkin selain segera mendapatkan untuk anak-anak mereka jika sudah tersedia.

“Ibu bapa dan penjaga perlu dapatkan maklumat yang betul berhubung vaksinasi demi anak-anak,” kata Teh dari Persatuan Perubatan Malaysia cawangan Sarawak.

“Risiko Covid-19 ini besar. Sebagai perbandingan kesan sampingan vaksin sangat kecil,” katanya dan menambah kesan sampingan yang buruk jarang sekali berlaku.

“Ibu bapa dan penjaga adalah mereka yang menguruskan kesihatan anak-anak. Dengan penularan yang tinggi ketika ini, kanak-kanak perlukan perlindungan vaksinasi.”

Di pusat jagaannya, Alina masih menolak untuk meneruskan vaksinasi dos kedua.

Dia berkata dirinya kini mengamalkan beberapa doa dari Al-Quran demi memastikan keadaan dan kesihatan kanak-kanak di bawah jagaannya.

Ketika seorang kanak-kanak di bawah jagaannya sakit, Alina akan membaca doa dari Al-Quran pada air untuk diminum.

Mereka turut berkumur dengan air garam setiap pagi ketika mengambil wuduk untuk solat.

“Saya akan fikir,” katanya ketika ditanya jika dia akan membawa anak-anak di bawah jagaannya untuk divaksinasi jika ia sudah tersedia.

“Namun jangan risau, kami amalkan habbatus sauda (jintan hitam) dan ia juga disyorkan oleh Nabi.

“Habbatus sauda boleh sembuhkan semua penyakit melainkan mati, Insya Allah.”