- Iklan -
Berita

Apakah imuniti kelompok Malaysia bakal dicapai 25 hari lagi?

Menggunakan data rasmi, laman sesawang penjejak data ramal bilakah negara akan kembali normal.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Team Outreach Sabak Bernam membuat persiapan sebelum melakukan tugasan pemberian vaksin Pfizer Bio-NTech di Sungai Besar, Kuala Selangor.
Team Outreach Sabak Bernam membuat persiapan sebelum melakukan tugasan pemberian vaksin Pfizer Bio-NTech di Sungai Besar, Kuala Selangor.

Program imunisasi Covid-19 di Malaysia bakal mencapai imuniti kelompok bagi populasi dewasa pada 23 September, menurut ramalan laman sesawang penjejak data menggunakan data Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19.

Laman sesawang vax.tehcpeng.net yang dibangunkan jurutera perisian analisis data berpangkalan di Pulau Pinang, Lim Sheng Han mengumpul data mengenai jumlah suntikan yang diberikan serta jumlah vaksinasi lengkap bagi meramalkan bilakah negara akan mencapai imuniti kelompok.

Ia mungkin merupakan laman sesawang pertama yang memberikan gambaran menyeluruh berhubung perkembangan program vaksinasi di Malaysia yang mendapat pujian global susulan kadar vaksinasi hariannya yang tinggi walaupun dianggap antara negara yang lewat menjalankan vaksinasi ekoran beberapa isu mengenai bekalan vaksin.

Berdasarkan perkembangan semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), laman sesawang tersebut menganggarkan negara hanya memerlukan tempoh 25 hari lagi untuk melihat 80% populasi dewasa mendapat vaksin lengkap, dan 74 hari untuk negara mencapai 80% populasi keseluruhan diberikan dua suntikan.

Dengan trend vaksinasi tersebut, ia bermaksud 80% populasi dewasa akan melengkapkan vaksinasi mereka pada 23 September, dan 80% populasi negara lengkap divaksin pada 10 November.

Selain menjejak jumlah bilangan individu yang lengkap divaksin atau yang mendapat satu suntikan, laman sesawang ini turut memaparkan peratusan jumlah yang mendaftarkan diri dengan PICK dan jumlah yang masih belum mendaftar.

Ia juga turut menjejak jumlah suntikan yang diberikan setiap hari selain memberikan perincian angka mengikut jenama vaksin.

Mengikut laman sesawang itu juga, lima negeri dengan rekod vaksinasi tertinggi kini dilihat bersaing untuk mencapai imuniti kelompok bagi populasi dewasanya adalah Negeri Sembilan (empat hari, 2 September), Perlis (17 hari, 15 September), Terengganu (23 hari, 21 September), Melaka (29 hari, 27 September) dan Pulau Pinang (29 hari, 27 September).

Senarai itu tidak termasuk Labuan, Lembah Klang dan Sarawak yang sudah mencatat 80% populasi dewasanya lengkap diberikan vaksin Covid-19.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Sejak pelancarannya, lebih dari 14 juta dos vaksin diberikan di seluruh negara dengan lebih 61% populasi dewasa dan hampir 44% penduduk mendapatkan vaksin lengkap direkodkan pada 28 Ogos.