- Iklan -
Berita

Menyeberang sejarah Jambatan Sarawak

Jambatan Gantung Satok yang pernah menjadi penghubung penting antara bandar sekitarnya, diberikan nafas  baru sebagai lokasi tarikan pelancong dan tempat meregang stres bagi pengunjung yang keletihan.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Jabatan Gantung Satok dibina semula selepas runtuh pada  2004.
Jabatan Gantung Satok dibina semula selepas runtuh pada 2004.

95 tahun yang lalu, Jambatan Gantung Satok di Sarawak memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di sekelilingnya.

Dibina ketika zaman pemerintahan Charles Brooke, ia tergantung 18m dari permukaan Sungai Sarawak, menghubungkan hiruk pikuk Kuching dan bandar Matang di PetraJaya.

Memandangkan sekitar 65% penduduk Sarawak tinggal di dataran rendah di sepanjang sungai, jambatan tersebut merupakan kunci utama ekonomi sosial.

Lantaran itu, Jambatan Satok menjadi pemangkin pembangunan dalam kalangan masyarakat daripada kedua-dua tebing sungai.

Jambatan Gantung Satok jadi penghubung beberapa bandar di sekelilingnya.

Namun, kenangan Bujang Dollah yang berusia 79 tahun mengenai jambatan berkisar pada hal-hal yang lebih berbentuk sentimental.

Enam puluh tahun lalu, jambatan itulah tempat pertemuan Bujang dengan dua rakan karib, Dollah Umar dan Mohd Razak.

Ketiga-tiga mereka akan bertemu di jambatan setiap hari sebelum berjalan ke sekolah bersama.

Razak, yang tinggal berhampiran Satok, akan menunggu Bujang dan Umar yang perlu menyeberang sungai.

“Untuk pergi ke bandar pada waktu itu, anda perlu guna jambatan untuk menyeberangi Sungai Sarawak, kemudian menyusuri jalan batu, sebelum sampai ke destinasi anda,” katanya kepada MalaysiaNow.

Keseluruhan perjalanan 10 batu perlu melalui jalan yang sukar.

“Saya masih ingat, pada tahun 1950-an, beberapa orang yang menaiki bas – yang sekali pandang macam trem – perlu turun dan berjalan di belakang bas ketika menyeberang guna jambatan,” kata Bujang.

“Ia hanya boleh bawa enam penumpang waktu menyeberang.”

Pada 1992, jambatan gantung itu ditutup kerana masalah strukturnya yang teruk.

Tidak dapat menahan angin kencang, jambatan itu akhirnya runtuh pada 7 Oktober 2004, 75 tahun selepas pembinaannya.

Jambatan baru

Kini, 17 tahun kemudian, penduduk di kawasan sekitarnya masih merasakan nostalgia jambatan lama itu selepas ketiadaannya.

Ia kemudiannya dibina semula dalam projek yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg semasa menjadi menteri pelancongan negeri pada 2017.

Hari ini, struktur keluli dan kabel yang tinggi menjulang menjadi simbol kemodenan dan sejauh mana Sarawak dari segi kemajuan dan infrastruktur.

Ia juga menjadi daya tarikan pelancong, menarik pengunjung dari dekat dan jauh yang turut melalui jambatan itu ketika berbasikal, mengambil gambar atau sekadar menikmati pemandangan.

Juliet Ono Junaidi (kanan) bersama anak lelakinya, Ahmed Amiruddin.

Bahkan, dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Sarawak, tidak dapat menghentikan pengunjung untuk datang pada hari Khamis bagi menyaksikan matahari terbenam.

“Ketika saya melihat pemandangan itu, ia jadi peringatan bagi saya untuk tenangkan diri, untuk menikmati saat ini dan bersantai,” kata Magchrina, seorang wanita Kenyah yang berusia 30 tahun dari Lawas.

“Wabak ini betul-betul mengasingkan kita daripada aktiviti sosial.”

Sementara itu, Juliet Ono Junaidi dari Sibu berada di sana kerana alasan yang berbeza.

Mengenakan pakaian tradisional Melanau, dia dan anaknya mengambil gambar untuk sebuah persatuan Melanau.

“Tetapi ramai orang mula minta untuk ambil gambar dengan kami,” katanya.

“Saya tidak jangka betul!”

Juliet juga berkata pemandangan damai di jambatan juga dapat melepaskan tekanan dirinya.

“Kita sudah terlalu lama duduk di rumah,” katanya.

“Saya rindu hari-hari normal kita sebelum (pandemik) ini.”

Bagi dua sahabat lama Bujang dan Dollah, mereka masih menunggu peluang untuk mengunjungi jambatan baru.

“Kami nantikan saat dapat ke sana nanti, kerana jambatan itu nampak cantik, sangat canggih,” kata Bujang.

“Saya dengar ramai yang sudah mengunjunginya. Saya rasa agak kecewa juga kerana kami tidak digalakkan keluar sekarang.

“Tetapi saya harap dapat berkunjung ke sana suatu hari. Ia menyimpan begitu banyak kisah dan kenangan, terutama bagi orang-orang tua seperti kami.”