- Iklan -
Berita

Kabinet Ismail: Yang menang dan yang kalah

Ketika parti-parti seperti Bersatu diberikan nyawa baru, kluster mahkamah dalam Umno kini perlu terus berdepan perbicaraan mahkamah tanpa sebarang campur tangan politik.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Yang kalah (atas) dan yang menang (bawah) selepas Kabinet baru diumumkan, dari kiri atas: Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Azalina Othman Said, Shamsul Anuar Nasarah, Ambiga Sreenevasan, Anwar Ibrahim, M Saravanan, Hishammuddin Hussein, Mohamed Azmin Ali, Khairy Jamaluddin, Shahidan Kassim dan Muhyiddin Yassin.
Yang kalah (atas) dan yang menang (bawah) selepas Kabinet baru diumumkan, dari kiri atas: Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Azalina Othman Said, Shamsul Anuar Nasarah, Ambiga Sreenevasan, Anwar Ibrahim, M Saravanan, Hishammuddin Hussein, Mohamed Azmin Ali, Khairy Jamaluddin, Shahidan Kassim dan Muhyiddin Yassin.

Pengumuman Kabinet baru oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mencetuskan kecaman dari Pakatan Harapan, selain kekecewaan yang dapat dilihat dari kem “separuh pembangkang” diketuai Ahmad Zahid Hamidi dari Umno.

MalaysiaNow menyenaraikan siapakah yang menang dan kalah selepas 31 menteri dilantik hari ini.

Pemenang: Perikatan Nasional

Jika terdapat satu perkara yang semua orang bersetuju mengenai barisan Kabinet ini, ia adalah hakikat bahawa Perikatan Nasional (PN) masih lagi berkuasa.

Format yang sebelum ini digunakan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dengan hirarki menteri-menteri kanan mengetuai empat kluster turut dikekalkan.

Ini mungkin cara Ismail untuk menjelaskan jenama kerajaannya adalah PN, jenama sama di mana kem pro-Najib Razak dalam Umno yang menarik balik sokongan sebelum ini.

Kalah: Kem Pro-Najib

Kem pro-Najib dilihat antara yang paling rugi.

Dengan pengecualian Noh Omar dan mungkin juga Noraini Ahmad, kedua-duanya menyertai bekas perdana menteri itu dalam menarik sokongan terhadap Muhyiddin, tiada selain mereka yang sebelum ini lantang dilantik sebagai menteri.

Gesaan terbuka kumpulan yang setia dengan Najib supaya Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilantik sebagai menteri kewangan langsung tidak diendahkan.

Sama juga seperti apa yang berlaku terhadap gesaan supaya Azalina Othman Said dilantik sebagai menteri undang-undang walaupun sebelum ini meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Juga bagi Shamsul Anuar Nasarah, yang pertama meletakkan jawatan dari Kabinet Muhyiddin, tidak dilantik semula sebagai menteri.

Pemenang: Kem Anti-Najib

Seperti luka ditaburkan garam, pengkritik Najib dalam Umno dan Barisan Nasional, seperti Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein, Reezal Merican Naina Merican, M Saravanan, Shahidan Kassim dan Annuar Musa dikekalkan memegang jawatan atau dinaikkan pangkat untuk mengetuai kementerian-kementerian berprofil tinggi.

Pemenang: Bersatu

Dengan satu pertiga menteri datang dari Bersatu, parti Melayu itu diberikan nyawa baru selepas beberapa ramalan mengatakan ia akan berakhir selepas peletakan jawatan presidennya sebagai perdana menteri.

Bersatu yang pemimpinnya memegang dua daripada jawatan menteri kanan, turut mengekalkan portfolio penting seperti pendidikan, dalam negeri, luar negeri selain dua jawatan penting dalam usaha memulihkan ekonomi negara iaitu kementerian perdagangan antarabangsa dan industri yang diketuai Mohamed Azmin Ali dan juga portfolio ekonomi di Jabatan Perdana Menteri diketuai Mustapa Mohamed.

Parti yang pada awalnya didirikan pemimpin Umno yang melawan Najib ketika kemuncak skandal 1MDB kini menjadi lebih kuat dalam mencabar Umno bagi menawan undi Melayu.

Kalah: Kem Anti-Azmin

Kem anti-Azmin yang terdiri daripada sekutu-sekutu Anwar Ibrahim dalam PKR, yang hanya dapat meraikan kegembiraan buat seketika dalam tempoh antara peletakan jawatan Muhyiddin dan pelantikan Ismail.

Ramai yang berharap ia akan menjadi saat “ini kalilah”, slogan terkenal pilihan raya umum, untuk melihat presiden mereka menjadi perdana menteri.

Selepas pelantikan Ismail diumumkan, kegembiraan itu terus menjadi bingit di media sosial yang menggesa Ismail tidak memberikan sebarang peranan kepada Azmin.

Jemputan yang jarang berlaku kepada Anwar dan pemimpin PH di Pejabat Perdana Menteri turut ditafsirkan sebagai isyarat kononnya karier politik Azmin sudah berakhir dengan ramai pendukung PKR bahkan mendakwa rundingan dibuat dengan Ismail yang bakal menyaksikan Azmin disingkirkan dari arena politik sebagai pertukaran sokongan PH terhadap perdana menteri baru itu.

Pemenang: Muhyiddin Yassin

Muhyiddin mungkin jatuh, namun belum terkeluar dari arena politik, melihat daripada orang-orangnya yang kembali menganggotai Kabinet.

Bekas perdana menteri itu mungkin kembali meraih kuasa dengan syarat semua menteri-menteri itu membuktikan mereka bekerja secara berkesan dan mampu melaksanakannya bermula sekarang sehingga Pilihan Raya Umum ke- 15.

Kalah: Kluster mahkamah Umno

Dengan komposisi Kabinet baru dan pengaruh Muhyiddin dalam kerajaan baru bermakna kumpulan kluster mahkamah yang terdiri daripada beberapa orang ahli Parlimen, enam daripadanya yang diketuai Najib dan Zahid kini tiada pilihan melainkan berdepan dengan perbicaraan di mahkamah tanpa campur tangan politik.

Muhyiddin berkata sebelum ini kerana keengganan untuk melayan percubaan “kleptokrat” mengelak pertuduhan jenayah yang dikenakan terhadap mereka menyebabkan mereka memberontak sekali gus memaksa beliau meletakkan jawatan.

Sebelum ini,, MalaysiaNow melaporkan secara eksklusif butiran percubaan Zahid untuk berbuat demikian dalam pertemuannya dengan Muhyiddin.

Pemenang: GPS

Walaupun gabungan politik di Sarawak sering menunjukkan mereka hanyalah pemerhati pergelutan politik “semenanjung”, ia juga menolak keras percubaan untuk menggulingkan Muhyiddin sehingga saat terakhir pentadbiran beliau.

GPS juga turut merakamkan terima kasih terhadap bekas perdana menteri itu kerana mendapat kelebihan politik di bawah kepimpinan Muhyiddin dan tidak mahu dilihat sebahagian daripada Kabinet baru yang didominasi oleh musuh-musuh perdana menteri.

Lagi pun, di bawah pentadbiran Muhyiddin, GPS telah berjaya mendapatkan hasil keuntungan berbilion ringgit yang sebelum ini dinafikan terhadap Sarawak untuk beberapa dekad.

Dengan enam warga Sarawak memegang portfolio kementerian persekutuan, termasuk seorang kekal menjadi menteri kanan, gabungan itu akan mendapatkan kelebihan kerana berjaya mendapatkan semula hak-hak Sarawak di bawah persekutuan, semua ini berjaya kerana GPS memilih “kawan yang betul” di Putrajaya.

Kalah: Aktivis-aktivis partisan

Sebahagian aktivis sosial terkenal mungkin tercemar imej sebagai individu tidak berpihak dalam menggesa pembaharuan apabila secara terbuka berkempen untuk ahli-ahli politik tertentu agar dilantik sebagai menteri.

Kumpulan ini termasuk Ambiga Sreenevasan bekas pengerusi gabungan Bersih 2.0 yang dilihat sebagai sebuah gerakan masyarakat sivil berjaya selepas mendapatkan sokongan sebahagian besar warga Malaysia dari pelbagai parti termasuk PAS.

Namun Ambiga tidak merahsiakan mengenai kecenderungan politiknya sejak beberapa bulan sebelum kejatuhan Muhyiddin, daripada kenyataannya yang berulang kali mahu pemimpin Amanah Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai menteri kesihatan sehingga menyerang pemimpin PAS dengan beberapa cadangan kontroversi.

Kekalahannya itu disimpulkan dengan jelas dalam ciapan Twitternya: “Kabinet: Tak harap apa-apa. Tak dapat apa-apa. Moral cerita: Jangan berharap.”