- Iklan -
Berita

Jangan sampai kleptokrat kembali, kata aktivis berhubung kerjasama kerajaan-pembangkang

Kerjasama pembangkang dan Ismail Sabri perlu penuhi syarat Muhyiddin, iaitu tiada kluster mahkamah dalam Kabinet.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis politik dan juga kolumnis Hishamuddin Rais.
Aktivis politik dan juga kolumnis Hishamuddin Rais.

Kerjasama yang disepakati antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan pihak pembangkang tidak boleh digunakan untuk membuka lorong kepada golongan kleptokrat kembali ke tampuk kuasa selepas peralihan kepimpinan di Putrajaya baru-baru ini, kata pemerhati.

Pemerhati politik dan budaya, Hishamuddin Rais berkata sekiranya perkara itu terjadi, ia melanggar syarat sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada ahli Parlimen Bera itu yang menyatakan, pelantikan Kabinet yang akan diumum nanti harus terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Tapi ahli politik ini pandangan dia berbeza, saya fikirkan untuk masa depan negara, tapi mereka fikirkan kuasa,” kata bekas tahanan ISA itu dalam satu forum anjuran Dewan Muda Johor secara dalam talian malam tadi.

“Kerana itu, kita harus melihat bahawa akan berlaku dalam masa terdekat nanti, jual beli (ahli Parlimen) apabila Kabinet dibentuk.

“Bulan September nanti akan ada pembentangan belanjawan negara, boleh jadi ada ahli Parlimen yang akan sokong dan tidak akan sokong.”

Katanya, situasi itu bakal terjadi kerana majoriti tipis yang dimiliki Ismail, iaitu sebanyak 114 sokongan ahli Dewan Rakyat.

Hishamuddin ditanya mengenai kesefahaman yang dimeterai oleh Ismail dan pemimpin PH dan cabaran golongan kleptokrasi atau kluster mahkamah kepada perdana menteri.

Ismail juga katanya perlu berhadapan dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu yang mungkin menarik sokongan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Golongan kleptokrat atau kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berhadapan dengan pertuduhan pecah amanah dan rasuah di mahkamah.

Ia diketuai oleh presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak yang bertanggungjawab menjatuhkan Muhyiddin Yassin dengan menarik semula sokongan 15 ahli Parlimen parti Melayu itu.

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hadir bertemu Ismail di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu.

Mereka dilaporkan akan menyokong Ismail dalam undi percaya yang bakal berlangsung di Dewan Rakyat sekiranya Ismail fokus melawan Covid-19.

Tahun lalu MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan Najib menulis surat bertarikh 11 Oktober kepada Yang di-Pertuan Agong, menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu untuk menjadi perdana menteri.

Ditanya mengenai kejujuran pembangkang dalam kerjasama itu, Hishamuddin berkata kejujuran dalam politik merupakan sesuatu yang ganjil.

“Politik ialah seni kemungkinan apa sahaja. Tidak ada musuh tegar, yang ada hanya kepentingan terus-menerus.

“Perebutan kuasa akan terus berlaku tapi saya ajukan dalam setahun dua ini meredakan tembak-menembak antara ahli politik,” katanya.

Katanya, beliau menyokong gencatan politik ketika ini memandangkan perebutan kuasa tidak membantu peperangan melawan Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor Negara, Shamsul Amri Baharudin berkata, semua pihak tidak boleh terlalu optimistik dengan kerjasama itu, namun sebaliknya berwaspada kerana ia hanya persetujuan simbolik.

“Dalam politik semua ada agenda masing-masing. Pada saya, ini agenda pembangkang yang mungkin terpaksa berkempen sesama mereka untuk dapatkan lebih daripada 105 sokongan.. kita tak tahu.

“Kerjasama ini bukan 100 peratus (terjamin), banyak lagi langkah-langkah lanjut. Adakah mereka (pembangkang) akan diterima dalam jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen nanti?” katanya pada forum sama.

Ismail akan mengumumkan barisan Kabinet hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang semalam.

Tumpuan kepada siapakah yang bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan kerana bakal menentukan hala tuju kerajaan pimpinan Ismail, tiga tahun selepas Umno kehilangan kuasa buat pertama kali dalam sejarah pada pilihan raya umum 2018.