Saturday, September 25, 2021

DAP kecewa dengan Kabinet ‘kitar semula’ Ismail

Lim Guan Eng menggelarkan barisan menteri yang diumum Ismail hari ini sebagai 'Kabinet kitar semula' dan menyatakan keraguan terhadap komitmen perdana menteri.

Other News

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengkritik Kabinet diketuai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas baru sahaja dua hari lalu berikrar untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam mencari titik persamaan dalam usaha meredakan suhu politik negara.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Kabinet baru yang diumumkan Ismail pagi tadi hampir sama dengan komposisi kerajaan sebelum ini.

“Kembalinya Kabinet kitar semula kerajaan gagal Perikatan Nasional akan menyebabkan keraguan timbul berhubung komitmen perdana menteri baru bukan sahaja dalam usaha memenangi perang Covid-19 dan krisis ekonomi.

“Ia juga akan menimbulkan persoalan apakah Ismail ikhlas untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang konkrit dalam melindungi hak-hak demokratik dan Perlembagaan seperti yang dikemukakan semasa pertemuannya dengan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu.”

Pada Rabu, Lim, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu menandatangani kenyataan yang jarang berlaku dengan perdana menteri, bersetuju untuk bersama mencari titik persamaan.

Mereka juga turut menerima konsep “Keluarga Malaysia” Ismail yang diperkenalkan dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri.

Susulan pertemuan mereka Anwar memberi bayangan pembangkang tidak akan menyulitkan Ismail dalam pembentangan usul undi percaya perdana menteri.

Lim hari ni berkata barisan Kabinet tersebut mengecewakan “ramai orang yang menjangkakan muka-muka baru dalam mencari penyelesaian pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi”.

“Kerajaan sekarang ini perlu hentikan kegagalan-kegagalan kerajaan terdahulu termasuk penguatkuasaan yang tidak adil, dasar yang sering bertukar, pusingan u dalam pelaksanaan SOP dan penangguhan vaksinasi selain melaksanakan program ujian saringan besar-besaran,” katanya.

“Kabinet kitar semula sama saja seperti memasukkan wain lama dalam botol baru yang meningkatkan keraguan apakah ada penyelesaian baru pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi selain ruang untuk melakukan pembaharuan institusi yang progresif.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles