- Iklan -
Berita

Tiada pengumuman Kabinet baru hari ini selepas PM mengadap Agong

Ismail Sabri mengadap Yang di-Pertuan Agong selama 90 minit hari ini, namun pengumuman yang dinantikan rakyat tidak berlaku.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini.

Pengumuman barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak berlaku hari ini ketika seluruh rakyat Malaysia menantikan perkembangan terbaru politik negara itu sejak pagi tadi, kurang seminggu selepas beliau mengambil alih mengetuai pentadbiran negara.

Terdahulu, Ismail mengadap Yang di-Pertuan Agong selama 90 minit di Istana Abdulaziz di Kuantan untuk menyembah maklum senarai nama yang menganggotai Kabinet beliau.

Ia adalah sesi mengadap Agong kali kedua bagi Ismail sejak mengangkat sumpah di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

“Sesi menghadap yang pertama berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai perdana menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu,” kata Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Pelbagai spekulasi timbul sama ada Ismail akan mengekalkan sebahagian besar menteri-menteri di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, tumpuan kini dihalakan terhadap jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Pilihan Ismail bagi dua jawatan tersebut akan menunjukkan sama ada beliau akan tunduk kepada tekanan pemimpin Umno yang bersekutu dengan Najib Razak, bekas perdana menteri yang giat berkempen untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin ketika negara dilanda pandemik.