- Iklan -
Berita

Pertemuan PM, pembangkang langkah awal politik baru, kata Saifuddin

Saifuddin berkata politik baru yang lebih bersih, segar seperti politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti perlu menjadi amalan di negara ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Pahang Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Pahang Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Pertemuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin utama parti pembangkang disifatkan sebagai langkah awal yang penting ke arah politik baru, kata Pengerusi Perikatan Nasional Pahang Saifuddin Abdullah.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata beliau telah mula membincangkan mengenai politik baru sejak 2006 menerusi buku diterbitkan beliau berjudul ‘Politik Baharu’.

“Saya mula membincangkan mengenai Politik Baharu sejak 2006. Ia adalah idea yang masih menunggu pelaksanaannya. Sudah tentu saya memahami dinamik politik sebenar. Tetapi saya masih perlu teruskan idea ini,” kata Saifuddin menerusi hantaran di akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

Semalam, Ismail mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu antaranya tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani pandemik Covid-19.

Berkongsi mengenai buku itu, Saifuddin berkata buku tersebut mengandungi dua bahagian utama dengan bahagian pertama menghuraikan mengenai keperluan meninggalkan amalan politik lama yang negatif seperti politik ampu, politik fitnah dan politik undi.

Sebaliknya, beliau berkata politik baru yang lebih bersih dan segar seperti politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti perlu menjadi amalan di negara ini.

Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang berkata bahagian kedua pula menceritakan perubahan politik negara ke tahap lebih tinggi dan meninggalkan perbezaan politik yang terlalu adversarial atau tajam
seperti lawan politik dijadikan musuh ketat.

“Saya menyarankan amalan ‘kerangka governans baru’ iaitu perundingan atas semangat rakan pembangunan antara tiga sektor utama pembangunan iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil. Dalam konteks ini, pertemuan yang dianjurkan perdana menteri semalam adalah amat signifikan,” katanya.