Monday, September 27, 2021

Vaksinasi Covid-19 global jangkau 5 bilion suntikan

Rata-rata di seluruh dunia, 64 dos suntikan vaksin diberi bagi setiap 100 penduduk.

Other News

Lebih lima bilion vaksin Covid-19 diberikan di seluruh dunia setakat ini, menandakan proses inokulasi global meningkat pantas.

Ketika negara-negara maju kini mula memberikan suntikan vaksin “booster” atau penggalak, program vaksinasi di negara-negara miskin terutama di Afrika masih belum lancar sepenuhnya.

Data rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya 5.006 bilion suntikan telah diberikan di seluruh dunia.

Rata-rata di seluruh dunia, 64 dos suntikan diberi bagi setiap 100 penduduk manakala tiga negara yang belum memulakan program vaksinasi ialah Burundi, Eritrea dan Korea Utara.

Suntikan untuk satu bilion pertama mengambil masa sekitar 140 hari manakala bagi ketiga, keempat dan kelima bilion mengambil masa antara 26 dan 30 hari.

Hampir 40% (1.96 bilion) daripada lima bilion suntikan diberikan di China diikuti India (589 juta) dan Amerika Syarikat (363 juta), menjadikan ketiga-tiganya negara paling banyak memberikan suntikan vaksin.

Untuk kategori negara yang melepasi sejuta suntikan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada dalam kedudukan tertinggi.

Sebilangan besar negara terbabit sudah melakukan vaksinasi sepenuhnya antara 65% dan 70% untuk penduduk mereka.

Beberapa negara seperti UAE, Bahrain, Israel, Uruguay dan Chile kini sudah memberikan suntikan vaksin penggalak bagi memastikan warga mereka dilindungi sepenuhnya.

Perancis juga akan mula memberikan suntikan penggalak mulai pertengahan September, yang mana ketika ini 126 dos disuntik bagi setiap 100 orang atau 62% penduduk sudah menerima vaksin lengkap.

Angka itu menunjukkan Perancis mengatasi Amerika Syarikat (AS) yang hanya memberikan 110 dos bagi setiap 100 penduduk atau 52% sudah lengkap divaksin.

Sebilangan besar negara miskin kini sudah mulai melakukan vaksinasi, hasil usaha pakatan Covax yang memastikan semua negara melakukan inokulasi kepada penduduknya.

Ketika ini, negara berpendapatan tinggi (seperti yang ditentukan oleh Bank Dunia) selesa menyuntik kira-kira 111 dos bagi setiap 100 penduduk berbanding dengan hanya 2.4 dos di negara berpendapatan rendah.

Suntikan vaksin di negara terbabit meningkat baru-baru ini selepas menerima sumbangan vaksin daripada beberapa negara kaya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles