Saturday, September 25, 2021

Tumpuan dihalakan kepada siapa menteri kewangan dan peranan ‘sensitif’ berhubung 1MDB menjelang pengumuman Kabinet hari ini

Ia merupakan jawatan yang telah menyebabkan menteri kewangan terakhir dari Umno sebelum ini dilanda masalah.

Other News

Tumpuan kini dihalakan kepada siapakah yang bakal memegang jawatan menteri kewangan dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, menjelang pengumuman barisan Kabinet yang dipilih beliau hari ini selepas beberapa siri perbincangan peribadi bersama sekutu rapat termasuk Muhyiddin Yassin, MalaysiaNow difahamkan.

Satu sumber dekat dengan beberapa perbincangan tersebut berkata “perkara paling memeningkan” Ismail ialah jawatan yang besar menteri kewangan, mengatakan wujud tekanan dari Umno untuk portfolio tersebut yang menjadi punca utama kejatuhan parti itu pada 2018.

“Ia adalah jawatan sama yang menyebabkan menteri kewangan terakhir dari Umno dapat masalah,” kata sumber tersebut yang rapat dengan pemimpin kanan dalam Umno dan Bersatu, merujuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib, sebelum ini memegang jawatan menteri kewangan sekali gus bertanggungjawab terhadap 1MDB, ketika ini berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah melibatkan bilion ringgit dana yang dicuri dari syarikat kelolaan negara itu.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin, jawatan menteri kewangan dipegang Tengku Zafrul Aziz.

Beliau dikenali sebagai individu bukan ahli politik dan sebelumnya menjawat pelbagai jawatan perbankan, dikatakan akan menjadi kompromi dalam menyeimbangkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Umno yang rapat dengan Najib ketika beliau masih dilihat menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Namun sebagai menteri kewangan yang bertanggungjawab dalam usaha mendapatkan semula ratusan juta dana yang dicuri dari 1MDB, tidak dapat dielak, Zafrul jadi sasaran sekutu-sekutu Najib dalam Umno,” kata sumber tersebut.

Zafrul juga bertanggungjawab dalam usaha membayar semula hutang 1MDB dan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset, yang dibentuk kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini bagi menyalurkan dana dari 1MDB yang diperolehi semula untuk dikembalikan kepada kerajaan.

Dengan kembalinya bahagian pertama AS$57.04 juta dana oleh Amerika Syarikat, dana yang berjaya didapatkan semula meningkat kepada lebih RM18 bilion, pembayaran terakhir sebanyak RM1.8 bilion dari Ambank, yang merupakan sebahagian persetujuan bank itu dalam penyelesaian berkait dana 1MDB.

Bertanggungjawab terhadap dana tersebut, Zafrul tidak dapat mengelak dari serangan Najib, yang sejak beberapa bulan mempertikaikan pegawai kanan perbankan tersebut mengenai usaha-usaha dalam mengurangkan impak krisis Covid-19 dalam negara.

Pada Mei lalu, Zafrul yang mengelak untuk terlibat dalam pergelutan antara ahli politik, membidas beberapa dakwaan Najib mengenai situasi hutang kerajaan selain turut mengingatkan bekas perdana menteri itu mengenai kerugian yang dihadapi negara, mengatakan negara masih menanggung beban akibat skandal 1MDB tersebut.

“Bayangkan, jika jumlah hampir RM58 billion ini dapat digunakan, berapa ramai rakyat yang kita dapat dibantu semasa pandemik ini?

“Bukan nak mengungkit, tetapi isu ini amat relevan dengan isu hutang negara dan kemampuan fiskal kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.

Jawatan sensitif

Peranan baru di bahu menteri kewangan dalam urusan melibatkan skandal 1MDB menjadikan portfolio tersebut sensitif kepada Umno.

Contohnya, beberapa kebimbangan ditimbulkan apabila Asyraf Wajdi Dusuki yang merupakan ketua Pemuda Umno dan sekutu kuat Najib, mencadangkan timbalan presiden partinya Mohamad Hasan memegang jawatan menteri kewangan.

Dalam kenyataan sebelum ini, Mohamad yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan atau dikenali sebagai Tok Mat, setakat ini menolak untuk memegang sebarang jawatan di peringkat persekutuan sejak Umno tumbang dalam pilihan raya umum yang lalu.

Tok Mat dilihat antara pemimpin Umno yang sebelum ini tidak begitu berminat parti itu kembali menguasai tampuk pentadbiran pada 2020.

Sebelum ini, beliau berkata memilih untuk bekerja bagi memperkukuhkan parti bagi memenangi pilihan raya akan datang selain turut mendakwa menolak jawatan-jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan yang ditawarkan kepadanya.

Setakat ini, Tok Mat menolak untuk memberikan ulasan namanya disebut bakal menduduki jawatan menteri kewangan seterusnya.

“Terpulanglah kepada kebijaksanaan PM untuk menyusun barisan Kabinet beliau,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ketika ditanya sama ada peranan tersebut akan mencetuskan konflik kepentingan terhadapnya sebagai pemimpin Umno, ketika menteri kewangan selepas skandal 1MDB tidak dapat mengelak daripada turut menguruskan dana-dana berkaitan syarikat yang melibatkan Najib, Tok Mat menjawab: “Kes 1MDB di mahkamah sekarang. Jadi, persoalan konflik kepentingan tidak timbul.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles