Friday, September 24, 2021

Lebih banyak klinik lapor golongan anti vaksin sanggup bayar untuk elak sistem

Seorang doktor berkata golongan yang mendekatinya untuk dapatkan sijil palsu kebanyakannya adalah penduduk bandar yang berpendidikan tinggi.

Other News

Semakin ramai doktor klinik swasta mendedahkan didekati golongan anti vaksin yang mahu mereka mengeluarkan sijil palsu vaksinasi lengkap dengan bayaran tertentu ketika timbul kebimbangan wujud segelintir pihak cuba mengganggu sistem kesihatan bagi menikmati kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) diberikan kepada yang lengkap menerima vaksin Covid-19.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beberapa orang doktor yang bekerja di klinik swasta di Selangor berkata golongan antivaksin atau yang menolak menerima vaksin virus yang mudah berjangkit itu mendekati klinik dengan menawarkan rasuah dalam usaha mendapatkan sijil vaksinasi.

Salah seorang pengamal perubatan, Dr Muhammad Muaz Mustapa berkata dia menerima tawaran demikian daripada seorang wanita yang menemani anak perempuannya di kliniknya di Rawang.

“Saya periksa kesihatan anak perempuannya, dan kemudian si ibu tiba-tiba bertanya jika klinik saya ada menjalankan vaksinasi Covid-19.

“Kemudian dia bertanya pada saya apakah saya boleh dapatkan sijil vaksinasi untuknya tanpa suntikan vaksin.”

Muaz berkata dia terkejut dengan pertanyaan tersebut.

“Ketika saya tanya mengapa tidak mahu dapatkan suntikan vaksin, dia kata suaminya baru saja meninggal, dua minggu selepas terima suntikan vaksin Sinovac dos yang kedua,” katanya.

Percubaan untuk mendapatkan ulasan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkara ini masih tidak mendapat maklum balas.

Baru-baru ini, MalaysiaNow melaporkan kejadian serupa di beberapa negeri lain.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow, mengesahkan wujud percubaan oleh golongan itu “bagi melangkaui sistem” yang telah disusun pihak berkuasa kesihatan.

Individu yang mendapat vaksin lengkap diberi kelonggaran untuk bergerak, termasuk kebenaran merentas daerah bagi tujuan tertentu dan mengambil bahagian dalam aktiviti sosial dan ekonomi.

Mereka juga dibenarkan untuk makan di restoran dan melaksanakan aktiviti keagamaan di rumah-rumah ibadat.

Kegiatan sosial lain yang dibenarkan termasuk berkelah, berkhemah dan sukan yang tidak memerlukan kontak fizikal.

Menurut Muaz wanita yang datang di kliniknya itu memerlukan sijil vaksinasi untuk kembali bekerja.

“Dia rela bayar saya untuk dapatkan sijil itu, tetapi tak mahu dapatkan suntikan.

“Saya rasa dia salahkan vaksin kerana menyebabkannya menjadi ibu tunggal,” katanya, sambil menambah anak perempuannya yang berusia 20 tahun juga tidak mengambil vaksin.

Dr Mohd Rahimie Sayutti daripada rangkaian klinik Primer Cherang berkata turut berdepan seorang anti-vaksin selepas kerajaan mengumumkan SOP kesihatan akan dilonggarkan kepada golongan yang m mendapatkan vaksin.

Beliau berkata wujud dua kategori individu yang datang ke kliniknya.

“Jenis pertama, mereka yang mahu disuntik vaksin kerana mereka bimbang tentang peningkatan kes sejak beberapa bulan lalu.

“Yang kedua pula adalah mereka yang sanggup keluarkan duit untuk dapatkan sijil vaksinasi tanpa mengambil suntikan.”

Rahimie memberitahu MalaysiaNow, apa yang mengejutkan, kebanyakan daripada yang tidak mahu menerima vaksin tersebut adalah dalam golongan yang berpendidikan tinggi dan kebanyakannya tinggal di kawasan bandar.

“Mereka berpendidikan dan ada duit untuk melakukan perkara ini,” katanya.

Dia berkata dirinya dan rakan-rakan akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan kefahaman kepada golongan yang menentang vaksinasi.

“Ada beberapa orang berubah fikiran dan setuju untuk dapatkan suntikan vaksin, dan ada yang menolak untuk terima penjelasan kami dan pergi cuba perkara sama di tempat lain.

“Saya katakan, pergi ke mana pun sama sahaja kerana pengamal perubatan mempunyai etika dan kami tidak boleh lakukan perkara itu.”

Muaz bersetuju walaupun anti vaksin akan meminta perkara sedemikian, katanya sudah menjadi tanggungjawab para doktor untuk menolak permintaan untuk dapatkan sijil vaksin yang palsu.

“Ia membahayakan kesihatan awam,” katanya.

“Ia juga boleh meningkatkan jumlah orang yang dijangkiti dan terkorban akibat Covid-19.”

Menambah bahawa tindakan sedemikian akan memberi lebih banyak masa bagi varian seperti Delta menular dalam masyarakat awam.

“Daripada bayar untuk dapat rawatan palsu, orang ramai harus dapatkan rawatan yang betul secara percuma ketika mereka mendapat vaksin.

“Dengan cara itu, mereka dapat dilindungi sekali gus melindungi orang lain.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles