- Iklan -
Berita

Anwar beri bayangan pembangkang akan sokong Ismail dalam undi percaya

PH tak mahu sulitkan Ismail Sabri dalam suasana pandemik yang melanda negara ketika ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri. Gambar: Bernama
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri. Gambar: Bernama

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim memberikan bayangan pembangkang tidak akan memberikan undi menentang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika usul undi percaya dibentangkan bagi mengesahkan sokongan terhadap beliau sebagai perdana menteri.

“Kita beritahu, kalau suasana begini dan program-program adalah pro-rakyat, kita tidak mahu sulitkan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Ismail di Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Terdahulu, Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dipanggil oleh Ismail bagi berbincang, ia dilihat sebagai sebuah langkah bagi mematuhi titah Istana Negara supaya kerajaan baru bekerjasama dengan pembangkang dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

Anwar berkata jemputan Ismail kepada mereka hari ini menunjukkan Umno sudah mengabaikan pendirian dan dasar “No Anwar No DAP” sebelum ini.

“Ismail Sabri ini mewakili Umno, dia bincang dengan Umno dan DAP. Saya bergurau dengan dia, ‘No Anwar No DAP’ ini nampak dah berubah lah,” katanya.

Anwar berkata pertemuan hari ini tidak menyentuh penglibatan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN), sebaliknya pemimpin PH membangkitkan beberapa isu berkaitan ekonomi.

Anwar merupakan pesaing terdekat Ismail bagi jawatan perdana menteri sebelum ini susulan kelompongan kuasa dalam kerajaan selepas peletakan jawatan Muhyiddin Yassin.

Selepas Istana Negara mengenal pasti bilangan sokongan ahli Dewan Rakyat, Ismail diumumkan menerima jumlah sokongan dari 114 ahli.

Begaimanapun, wujud perbezaan pandangan berhubung angka sokongan ahli Dewan Rakyat terhadap Anwar yang mengatakan ahli Parlimen Port Dickson itu hanya mendapat 92 jumlah sokongan.

Sebelum ini, istana juga turut menitahkan perdana menteri baru harus mengesahkan sekali lagi sokongan yang dimiliki beliau dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat.