- Iklan -
Berita

Rasa lega, keliru dialami golongan gelandangan dalam program vaksinasi Kuching

Sebahagian penerima vaksin berkata beban di bahu seakan terangkat namun ada juga yang kelihatan bingung dengan keadaan tersebut.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menyiapkan suntikan dan mengambil maklumat gelandangan yang bakal menerima vaksin di Kuching.
Petugas kesihatan menyiapkan suntikan dan mengambil maklumat gelandangan yang bakal menerima vaksin di Kuching.

Setiap hari, Madzidi Bujang bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di bandaraya Kuching, ibu negeri Sarawak bagi mencari tempat buat berlindung sekali gus bermalam.

Rumahnya sebenarnya terletak di Kampung Pulo, salah satu daripada kampung yang terletak di sepanjang Sungai Sarawak di seberang Kuching Waterfront.

Bagaimanapun, kali terakhir dia pulang ke kampungnya itu adalah beberapa bulan lalu.

Madzidi adalah salah seorang daripada sekian ramai individu yang menjalani kehidupan seharian di jalanan Sarawak.

Terkadang, ada juga malam-malam yang dia jalani dengan hanya mampu memeluk diri di kaki lima lot-lot kedai di Padungan.

Madzidi Bujang menarik lengan bajunya untuk menerima suntikan vaksin Sinovac di Kuching.

Madzidi mahu pulang ke kampung, namun masalah keluarga menjadikan keinginannya itu sukar dilakukan.

Buat masa ini, hal yang boleh dia lakukan adalah terus bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan sedaya upaya menjaga keselamatan dirinya daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Sarawak meningkatkan pemberian vaksinasi dan mencapai sasaran bilangan vaksinasi dua kali ganda daripada sasaran awal.

Setakat ini, lebih dari 82% populasi dewasa menerima vaksin di negeri itu.

Namun untuk mengesan golongan gelandangan seperti Madzidi yang selalu berpindah-randah menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa dalam usaha negeri itu mencapai sasaran imuniti kelompok.

Penubuhan unit vaksinasi bergerak setakat ini telah banyak membantu usaha tersebut.

Dengannya, sekitar 72% gelandangan di seluruh Sarawak berjaya divaksinasi dengan suntikan dos pertama sejak pihak berkuasa melancarkan program inokulasi gelandangan pada akhir Julai lalu.

Madzidi adalah salah seorang dari 14 individu yang menerima suntikan vaksin Sinovac bagi dos kedua dalam operasi bersepadu vaksinasi bergerak di Kuching pada Ahad.

Voon Chong Choi mengumpul barangannya selepas menerima dos vaksin Covid-19.

“Saya risau,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui.

“Tetapi saya lebih suka diberi vaksin kerana saya tidak boleh buat apa-apa jika belum divaksin.”

Ia termasuk kerja-kerja harian dengan upah yang dapat membantunya memperolehi makanan bagi melangsungkan hidup setiap hari.

Sekarang, setelah mendapat vaksin, Madzidi lebih optimis dengan peluangnya yang dilihat suram sebelum ini terutama apabila varian Delta Covid-19 menular di seluruh negeri.

Pada Ahad, Sarawak mencatatkan 1,772 kes baru, kebanyakan daripada keseluruhan angka itu atau sebanyak 99.77% adalah jangkitan dalam Kategori Satu dan Dua.

Kuching mencatat kes tertinggi sebanyak 725, diikuti Samarahan (242) dan Bau (167).

Kes harian wabak jatuh kepada 1,538 pada Isnin.

Othman Drahman yang kehilangan tempat tinggal sejak beberapa tahun lalu dan turut menerima vaksin pada Ahad berkata dia juga turut bersyukur.

Menurutnya, semua nasihat kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) wabak dipatuhi sedaya upayanya termasuk sentiasa memakai pelitup muka dan tidak berhimpun dalam pertemuan ramai.

Namun gelandangan sepertinya tidak begitu banyak pilihan dan kadang-kadang sukar untuk mematuhi SOP.

“Saya sangat bersemangat untuk dapatkan (vaksin) ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sekarang saya rasa sangat lega.”

Namun, dalam pada itu, wujud juga penerima vaksin daripada golongan gelandangan kelihatan keliru mengenai sifat semulajadi atau apakah kepentingan mereka mendapatkan vaksin.

Bagaimanapun, mereka tetap menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan.

“Saya tidak tahu,” kata seorang lelaki separuh umur Voon Chong Choi kepada MalaysiaNow ketika ditanya apakah perasaannya setelah menerima vaksin.

Walaupun terdapat pelbagai tahap kesedaran mengenai virus dan manfaat vaksinasi, pihak berkuasa yakin setiap orang yang divaksinasi akan dapat membawa negara selangkah lebih dekat dalam sasaran mencapai imuniti kelompok.

“Menyediakan vaksin bagi gelandangan memang ada cabaran tertentu.

“Mereka sukar untuk dikesan, atau memiliki kebimbangan lain daripada mendapatkan vaksin.

“Namun, kami akan pastikan pasukan dapat bekerjasama supaya semuanya dapat dilakukan dengan selamat,” kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Fatimah Abdullah pada sidang media Ahad lalu.