- Iklan -
Berita

Pengurus pusat hiburan dan 7 pelanggan dikompaun ingkar SOP

Pelanggan pusat hiburan itu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang dalam serbuan tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Seorang pengurus pusat hiburan dan tujuh pelanggannya dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Sungai Way, Petaling Jaya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam operasi pukul 3 petang itu, pengurus pusat hiburan tersebut dikompaun RM25,000 manakala pelanggan berumur 20 hingga 50 tahun itu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

“Semasa serbuan dijalankan, terdapat tujuh pelanggan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita warga tempatan sedang berhibur di dalam premis tersebut dan terdapat tiga lelaki warga asing yang bekerja di premis tersebut.

“Pengurus pusat hiburan itu dikompaun kerana premis itu beroperasi dalam tempoh Fasa 1 PPN manakala tujuh pelanggan dikompaun kerana mengunjungi pusat hiburan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berkata ujian air kencing terhadap kesemua individu berkenaan juga mendapati dua pelanggan yang berumur 22 dan 25 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Katanya, pengurus pusat hiburan yang merupakan warga tempatan dan berumur 40 tahun itu juga gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras 2021 ketika diperiksa, dan turut ditahan bersama tiga pekerja warga asing bagi membantu siasatan.

“Pengurus itu akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 manakala warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1956/1963,” katanya.

Fakhrudin berkata kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan manakala suspek yang didapati positif dadah akan didakwa di mahkamah esok di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.