- Iklan -
Berita

Pelantikan Ismail sebagai PM peluang terbaik Umno bangkit semula?

Rombakan kepimpinan amat diperlukan Umno bagi mengukuhkan kerjasama parti-parti dalam Perikatan Nasional.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ismail Sabri Yaakob memulakan tugasnya sebagai perdana menteri di Perdana Putra pada 23 Ogos. Gambar: Bernama
Ismail Sabri Yaakob memulakan tugasnya sebagai perdana menteri di Perdana Putra pada 23 Ogos. Gambar: Bernama

Pelantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri merupakan peluang terbaik bagi parti Melayu itu melakukan rombakan kepimpinan bagi memulihkan imej yang tercemar akibat skandal rasuah pemimpin sebelumnya, kata penganalisis.

Mereka berkata, rombakan kepimpinan juga amat diperlukan Umno bagi mengukuhkan kerjasama bersama parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersatu dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (Kita), UKM berkata, sebagai permulaan, Umno perlu menggugurkan “orang-orang bermasalah” daripada parti itu.

“Saya harap jika ada pemilihan parti nanti Ismail Sabri dipilih menjadi presiden sebab orangnya tidak cerewet, tidak ada kes rasuah dan agak bersih berbanding yang sedia ada,” kata Shamsul kepada MalaysiaNow merujuk kepada kepimpinan sedia ada Umno.

“Lagi pun pelantikan beliau ini pada saya satu perubahan besar kepada Umno, takkan Umno nak ambil orang banyak masalah lagi, bodohlah Umno. Ini sudah tentu akan memudah dan melancarkan kempen Umno untuk PRU seterusnya.”

Walaupun status kepimpinan Umno boleh dipertikaikan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengatakan parti itu terlambat dalam menangguhkan pemilihan, parti itu kini dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan dengan puluhan dakwaan melibatkan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram.

Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak yang menunggu keputusan rayuan selepas dijatuhkan hukuman bersalah dan berdepan hukuman penjara dalam kes SRC International sebelum ini bersama-sama dalam mengetuai kempen dalam menjatuhkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Tahun lalu, MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan Najib menulis surat kepada Agong bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri, sekaligus menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pelantikan Ismail sebagai perdana menteri telah memecahkan tradisi Umno yang lazimnya presiden akan diangkat sebagai perdana menteri.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata beliau yakin Umno akan memberikan laluan kepada Ismail.

“Rombakan kepimpinan bergantung Perhimpunan Agong Umno, kalau mereka boleh berkompromi walaupun berbeza pandangan memilih Ismail sebagai PM, kenapa tidak sebagai presiden?” katanya kepada MalaysiaNow.

Umno bergolak sekiranya Zahid tak mengalah

Hisommudin menambah, sekiranya Zahid mahu kekal menjadi presiden Umno, akan berlaku pergolakan besar dalam parti Melayu itu.

“Kita juga perlu ingat Umno sebelum ini menyatakan ‘No Anwar, no DAP, No Bersatu’.

“Kalau perkara ini kekal, pastinya akan membawa masalah kepada Perikatan Nasional (PN) kerana pada saya formula terbaik untuk Umno sekarang ini adalah berkompromi menjalin hubungan dengan PN yang di dalamnya ada Bersatu, PAS dan Umno sendiri walaupun mungkin ada selisih faham, tapi boleh bersama,” katanya.

Menurut Hisommudin, sekiranya Umno mengekalkan Zahid sebagai presiden, kerjasama bersama parti-parti dalam PN hanya boleh bertahan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Jadi saya harap Umno dan Zahid sendiri boleh memberi laluan kepada Ismail, untuk mengelak perkara sebaliknya berlaku kemudian hari.”

Shamsul menambah, sekiranya Umno masih mengekalkan kepimpinan sedia ada, sukar bagi parti itu untuk meyakinkan rakyat untuk kembali menyokong mereka selepas kalah pada PRU14 pada 2018.

“Orang kampung akan tanya apa kejayaan Umno sekarang ni? Rasuah ke? Nak cakap apa kalau kepimpinan masih yang sama? Sebab itu pada saya, Ismail mesti mengetuai kepimpinan baru Umno,” katanya.

Sementara Sivamurugan Pandian dari USM berkata, Umno wajar melakukan rombakan kepimpinan sebagai persediaan untuk berdepan dengan PRU15.

“Umno harus ada kepimpinan baru yang boleh memberikan pendekatan berbeza,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pada saya dalam pemilihan itu nanti, kalau Umno merasakan perlu ada barisan kepimpinan yang baru, clean dan bebas korupsi, Umno wajar melakukannya.”

Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri, Ismail mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin dan ahli-ahli Parlimen yang mendukung beliau sebagai perdana menteri.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai Zahid dan Najib menarik kembali sokongan terhadapnya.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri selepas 114 daripada ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan PN sebelum ini, termasuk Zahid dan Najib menyokongnya.

Ini menyebabkan Anwar yang mengetuai Pakatan Harapan gagal sekali lagi dalam percubaannya untuk menjadi perdana menteri.

*Aliff Fikri turut menyumbang kepada laporan ini.