- Iklan -
Berita

Mahkamah panggil doktor jelaskan kesihatan Zahid untuk elak perbicaraan tangguh lagi

Sapina akan dikeluarkan kepada doktor berkenaan agar hadir di mahkamah bagi menjelaskan prosedur yang akan dijalani Zahid.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata pihaknya tidak boleh membenarkan sekali lagi penangguhan perbicaraan Ahmad Zahid Hamidi dan akan memanggil seorang doktor pakar sebuah hospital swasta bagi menjelaskan keadaan kesihatan Presiden Umno itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, sapina akan dikeluarkan kepada doktor berkenaan agar hadir di mahkamah bagi menjelaskan prosedur yang akan dijalankan terhadap Zahid serta tempoh masa yang diperlukan sebelum tertuduh benar-benar pulih.

“Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan anak guamnya itu tidak dapat menghadirkan diri kerana menjalani prosedur pada bahagian tulang belakangnya di sebuah hospital pakar hari ini.

Zahid dikatakan mengalami kesakitan akibat terjatuh dan tidak mampu duduk terlalu lama.

Awal hari ini, MalaysiaNow melaporkan presiden Umno itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Hisyam turut mengesahkan anak guamnya tidak akan hadir ke mahkamah ekoran kemasukannya ke hospital.

Zahid yang merupakan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika Najib Razak menerajui pentadbiran bakal berdepan hukuman 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan bagi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah sekitar RM42 juta dari sebuah syarikat bagi melanjutkan kontrak sebagai operator sistem visa luar negara.

Beliau turut didakwa menerima suapan dalam pelbagai wata wang – S$1,150,000, RM3,000,000, €15,000 dan AS$15,000 – daripada syarikat yang sama.

Perbicaraan yang sudahpun ditangguhkan dua kali ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) dijadualkan bersambung esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam pada itu, anak perempuan Zahid dalam sebuah hantaran di Facebook membidas mereka yang menyebarkan fitnah yang Zahid masuk ke hospital untuk mengelak dari perbicaraan mahkamah.

Nurulhidayah berkata dia merakam Zahid yang diusung katil ke bilik pembedahan sebagai bukti kepada orang ramai.

“Sangkaan saya amat tepat! Belum pun Abah selesai di OT, berita fitnah tersebar yang dia sedang ‘berehat’ di hospital utk elak kes mahkamah!

“Tak masuk akal, benda sakit ni bukan boleh buat-buat,” katanya.