- Iklan -
Berita

Ahmad Maslan mohon dibicarakan lagi selepas kes dibawa ke Mahkamah Tinggi

Kes tersebut pada awalnya dijadual akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan mohon dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima dari Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan beri penyataan palsu kepada SPRM di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, kes tersebut ditetapkan akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen, bagaimanapun permohonan Ahmad untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi telah dibenarkan pada 13 Julai.

Ketika ditanya sama ada beliau faham kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, Ahmad menjawab, “Faham, saya mengaku tidak bersalah,”.

Mahkamah juga membenarkan jaminan RM500,000 yang dikenakan di Mahkamah Sesyen ketika beliau didakwa kali pertama pada 21 Januari 2020 dikekalkan dan menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes.

Dalam prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 10 orang saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang akan bermula tahun depan.

Tarikh perbicaraan sebelum ini telah ditetapkan selama 23 hari bermula 7 hingga 9 Jun dan 13-15 Jun, 18-21 Julai dan 25-28 Julai serta 15-19 Ogos serta 22- 25 Ogos 2022 dan tarikh itu telah dipersetujui peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas timbalan menteri kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November, 2013, dan cek itu ditunaikannya sendiri pada hari sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.