- Iklan -
Berita

Kami kukuh di bawah kepimpinan Anwar, kata PH selepas gagal rampas kuasa

PH mahu perluas kerjasama blok pembangkang di bawah 'khemah besar'.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama pemimpin PH lain berucap di pintu masuk Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 17 Ogos lalu. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama pemimpin PH lain berucap di pintu masuk Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 17 Ogos lalu. Gambar: Bernama

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) hari ini mengatakan mereka tetap komited di bawah kepimpinan pengerusinya, Anwar Ibrahim walaupun terdapat desakan kepada gabungan itu untuk memikirkan semula strategi menamakan presiden PKR itu sebagai calon perdana menteri.

Malahan, gabungan yang mendakwa mendapat sokongan 105 ahli Parlimen dalam surat akuan bersumpah mereka kepada istana minggu lalu, mengatakan akan memperluaskan kerjasama dengan blok-blok pembangkang lain dalam pendekatan menerusi kaedah “khemah besar”.

“Usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ di kalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara,” kata mereka dalam kenyataan yang ditandatangani Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

PH menggesa ahli-ahli Parlimennya mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri dalam SD yang diserahkan kepada Istana Negara minggu lalu.

Pada Jumaat, pihak istana mengumumkan Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob menerima sokongan majoriti daripada 114 ahli Parlimen.

Bagaimanapun, wujud percanggahan pandangan mengenai angka yang menyokong Anwar apabila wujud pemimpin PH yang mengatakan hanya 92 ahli Parlimen sahaja yang menyokong ahli Parlimen Port Dickson tersebut.

Kegagalan Anwar untuk mengumpulkan sokongan yang cukup kepada dirinya untuk menjadi perdana menteri menimbulkan kritikan terhadap PH sehingga ada sebahagian yang menggesa gabungan itu untuk memandang lebih jauh menjangkaui ahli politik veteran tersebut dan cita-citanya untuk menduduki tampuk kuasa.

Dalam kenyataan mereka pemimpin-pemimpin kanan PH urut berkata usaha sedang dijalankan untuk memperkukuhkan gabungan itu di bawah kepimpinan Anwar.

“Segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat,” tambah kenyataan tersebut.